Pengarah Penyelidikan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr. Kamaruddin Said

KAJANG – Belanjawan 2023 yang akan bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini disifatkan sebagai “belanjawan manifesto” kerajaan.

Malah ia juga boleh dianggap sebagai bajet Keluarga Malaysia seperti tema kesejahteraan yang ditonjolkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara, Prof Dr Kamarudin M. Said.

Beliau beranggapan demikian ekoran pengumuman terhadap belanjawan akan dibuat selepas ura-ura mengatakan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam masa terdekat.

“Saya ini bukanlah orang ekonomi tapi saya rasa bajet yang akan dibentang nanti adalah bajet Keluarga Malaysia.

“Saya tengok ia boleh juga dikatakan sebagai bajet manifesto partilah. Tapi, kita tak tahu parti mana,” katanya ketika memberikan pandangan pada Perbincangan Khas Pra Bajet 2023 di Majlis Profesor Negara (MPN) di sini hari ini.

Kamarudin yang juga Pengarah Bahagian Penyelidikan MPN melihat belanjawan yang akan diumumkan adalah satu bajet yang inklusif meskipun ia boleh dikatakan sebagai bajet manifesto.

Tambahnya, sungguh pun ia bajet untuk kesejahteraan rakyat dari segi ekonomi yang boleh diguna pakai namun daripada segi lenggoknya, ia adalah satu manifesto yang hendak disajikan kepada rakyat.

Belanjawan tersebut diramal akan mencatatkan perbelanjaan keseluruhan yang lebih tinggi berbanding bajet yang dibentangkan sebelum ini di samping menggariskan senarai projek yang lebih panjang bagi menyokong pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Turut dijangka bakal diumumkan adalah senarai geran latihan di samping projek teknologi serta program berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan. – MalaysiaGazette