SHAH ALAM – Peminjam pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bakal menerima diskaun khas yang akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu bagi meringankan beban golongan belia khususnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.
“Kita akan menyediakan potongan diskaun kepada pembayar atau peminjam PTPTN. Ia meliputi pembayaran balik pinjaman bagi kategori tertentu dan ia akan diumumkan nanti,” katanya pada Sesi Dialog Awam bersama lebih 4,000 mahasiswa dari pelbagai universiti di sini hari ini.
Terdahulu beliau melancarkan aplikasi Idea Bina Negara (IBN) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan berkaitan isu kenaikan kos sara hidup yang turut ditanggung golongan mahasiswa ketika ini.
Dalam pada itu, jelas Ismail Sabri, peminjam PTPTN juga tidak perlu membuat bayaran balik sekiranya mereka memperoleh keputusan kelas pertama dalam pengajian masing-masing.
“Ia tidak hanya diberikan kepada golongan B40 malah kepada M40 dan T20. Kita juga ada tajuk khusus untuk anak-anak muda dalam pembentangan Bajet 2023 nanti,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau yakin sebanyak 600,000 peluang pekerjaan disediakan kerajaan bagi belia dapat dipenuhi menjelang hujung tahun ini.
“Sehingga kini, kira-kira 400,000 golongan muda sudah mendapat pekerjaan dan menurunkan kadar pengangguran dari 5.2 peratus kepada 3.7 peratus.
“Kita menyediakan pelbagai inisiatif dan peruntukan bagi pelaksanaan program khas seperti Karnival Kerjaya JaminKerja dan MyStep,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat terutama melibatkan mahasiswa IPT.
“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkenalkan menu Keluarga Malaysia dengan harga maksimum RM3.50 malah Jualan Murah Keluarga Malaysia akan diperluaskan di kampus seluruh negara bermula bulan ini dan pemberian terus Peranti Siswa kepada mahasiswa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette