KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menolak dakwaan Malaysia akan mengalami krisis ekonomi dan kewangan.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata biar pun nilai ringgit menjunam berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) namun kerajaan memberi jaminan krisis itu tidak akan memberikan kesan kepada negara.
“Walaupun kita (ketika ini) dilanda beberapa cabaran yang berpunca daripada faktor luaran yang berada di luar kawalan kerajaan, saya ingin menegaskan, negara kita tidak berhadapan atau menuju ke arah sebarang krisis ekonomi dan kewangan.
“Keadaan ekonomi negara sekarang amatlah jauh berbeza dengan apa yang berlaku pada krisis ekonomi Asia yang saya kongsikan tadi. Asas ekonomi dan sistem kewangan Malaysia kini jauh lebih berbeza dengan pelbagai pembaharuan ekonomi dan kewangan yang dilaksanakan berikutan krisis kewangan Asia tersebut.
“Antara pembaharuan tersebut adalah seperti struktur domestik yang lebih pelbagai disokong oleh sistem yang bermodal baik dan kedudukan luaran yang kukuh.
“Sebagai contoh pasaran kewangan negara sekarang sangat terbuka dengan penyertaan pelabur asing yang tinggi dan kita boleh pelbagaikan ekonomi dan lebihan semasa didorong oleh eksport yang pelbagai,” katanya menjawab dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul menjawab pertanyaan Wong Hon Wai (Bukit Bendera-PH) yang ingin tahu sama ada satu krisis kewangan sedang terbentuk berikutan nilai ringgit menjunam berbanding dolar AS, kadar inflasi yang kian genting serta hutang kerajaan Persekutuan yang kian meruncing.
Tambahnya, setakat tahun ini, akaun semasa negara kekal positif dengan jumlahnya lebih RM3 bilion pada suku pertama dan RM4.4 bilion suku kedua.
“Oleh itu, walaupun kini kita dilanda beberapa cabaran yang berpunca daripada faktor luaran yang berada di luar kawalan Kerajaan, saya ingin menegaskan bahawa negara kita tidak berhadapan atau menuju ke arah sebarang krisis ekonomi atau kewangan,” katanya lagi.
Untuk rekod, krisis kewangan Asia tahun 1997 dan 1998 disifatkan sebagai salah satu krisis ekonomi terburuk yang pernah dihadapi Malaysia apabila sejumlah 102,000 rakyat di negara ini ketika itu hilang pekerjaan mereka.
Krisis itu juga mengakibatkan matawang ringgit telah jatuh hampir 54 peratus pada tahun 1997 dengan kadar terendah sehingga RM4.88 bagi setiap satu dolar AS. – MalaysiaGazette