PEKAN – Seramai 1,000 pelajar sekolah di Pahang menyertai Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini.
Penglibatan peserta menyertai pelbagai program berteraskan kepada pembelajaran bersepadu dalam bidang STEM dapat meningkatkan daya saing dalam bidang sains serta teknologi kepada para pelajar sekolah.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Datuk Seri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, pendidikan STEM menjadi keutamaan kepada sekolah dan universiti ke arah memartabat serta memperkukuhkan bidang terbabit kepada generasi muda pada masa depan.
Ujarnya, pendidikan STEM juga menekankan konsep berpandukan komponen 4C atau 4K iaitu komunikasi, kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritikal seperti yang terkandung dalam pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) serta kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).
“Pembangunan komponen ini dilihat dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai kemahiran tinggi dalam menyelesaikan masalah kompleks.
“Dunia pada masa kini berdepan dengan Industri 4.0 yang memerlukan generasi berpengetahuan tinggi dan berkeupayaan menghadapi cabaran teknologi baharu lebih kompleks.
“Pelbagai program dilaksanakan UMP dalam usaha meningkatkan bakat muda dalam bidang kecerdasan buatan (AI), data besar (big data) robotik, kod, dron dan juga dalam bidang teknologi baharu,” katanya pada majlis perasmian Karnival STEM UMP tahun 2022 di Dewan Serbaguna UMP, di sini, hari ini.
Hadir sama dalam program Naib Canselor UMP, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin.
Tambahnya, bidang STEM ini merupakan bidang ilmu yang berpaksikan teknologi dan program itu dapat membudayakan nilai teknologi serta menanam sikap ingin mengetahui tentang ciptaan sesuatu inovasi itu.
Karnival yang berlangsung sepanjang bulan Oktober ini di kampus UMP akan memberi peluang pelajar mengikuti program Kebun IoT, Treasure Hunt, SD Modelling and Printing, Drone Assembly Workshop, STEM Digital Storytelling, Alarm@UMP, Underwater Robotics, Robotics With Lego dan pelbagai program. – MalaysiaGazette