MENARA Gading mempunyai dua maksud asas iaitu ‘tempat paling tinggi untuk mendapatkan ilmu terkini’, dan ‘tempat di mana para sarjana menerokai ilmu baharu’. Ilmu pula ialah idea atau teori yang masih dalam perdebatan dan penelitian para sarjana, ia terus menerus berkembang untuk membekalkan maklumat dan produk inovasi baharu. Perkara ini dijelaskan oleh Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo yang juga merupakan ahli Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia. Ia bertepatan dengan Tema Hari Akademia pada tahun 2022, iaitu Memasyarakatkan Ilmu Menara Gading.
Kementerian Pendidikan telah mengisytiharkan 5 Oktober sebagai Hari Akademia Malaysia sejak 2019, bagi menghargai jasa dan sumbangan kumpulan akademik yang merangkumi tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, institut latihan perguruan, kolej matrikulasi termasuk institut latihan dan vokasional. Ia melibatkan komuniti akademia yang merangkumi kira-kira 70,000 tenaga pengajar di IPT.
Hari Akademia juga merupakan antara inisiatif kementerian bagi menghargai jasa dan sumbangan seluruh kakitangan akademik pada pelbagai peringkat pengajian lepasan sekolah. Pelbagai program wacana dan intelektual dilaksanakan sebagai pengisian program sepanjang bulan ini, selain Oktober juga diperkenalkan sebagai Bulan Akademia di semua IPT.
Umum mengetahui ahli akademia terikat dengan tujuh skop tugas atau dikenali sebagai 7P iaitu pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, pentadbiran, penyeliaan, perundingan, penerbitan dan perkhidmatan masyarakat. Mereka juga memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan isu masyarakat melalui hubungan yang dijalinkan antara kerajaan, akademia, komuniti dan industri.
Pendidikan merupakan alat transformasi bagi menyediakan solusi terhadap kepelbagaian masalah semasa yang melanda masyarakat. Justeru itu, universiti telah berterusan memainkankan peranan proaktif sebagai wadah yang memikirkan, memperkenal dan melaksanakan pelbagai usaha terarah melalui program pemindahan ilmu dan keterlibatan dalam aktiviti pembangunan komuniti.
Kerangka kerja bagi agenda transformasi komuniti ini selaras dengan peruntukan dalam dokumen Redesign University Higher Education: University, Industry and Community Engagement” yang pernah diterbirkan oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT). Ini adalah bagi memacu pencapaian Pelan Pembangunan Pendidkan Malaysia (PPPM) Pendidikan Tinggi 2015-2025 yang telah menggariskan 10 lonjakan termasuk keberhasilan akademia
dalam usaha mentransformasikan masyarakat dan negara.
Aktiviti transformasi masyarakat yang dilaksanakan oleh akademia dilaksanakan samada melalui aktiviti pengembangan, latihan professional, konsultansi dan penyelidikan tranlasional. Aktiviti memasyarakatkan universiti telah disemarakkan lagi pada tahun 2019 apabila JPT memperkenalkan inisitif baharu dikenali sebagai U4S iaitu ‘Universiti Untuk Masyarakat”. U4S menitikberatkan pemindahan ilmu dengan pengisian kesarjanaan menggunapakai model quadarplehelix iaitu kolaborasi universiti-agensi-industri-komuniti yang merupakan penambahbaikan kepada inisiatif Program Pemindahan Ilmu atau KTP (knowledge Transfer Program).
Perlu diketahui bahawa Universiti bukan soal menyelesaikan masalah seharian, tetapi sebuah institusi kesarjanaan bagi membina insan yang berfikiran kritis dan beretika iaitu sentiasa memerah otak untuk membina pendekatan penyelesaian, mendekati ilmu baharu, membangun perwatakan berasaskan ‘ketelusan dan kebenaran’ dan pemimpin masa depan bangsa dan negaranya. Penyampaian ilmu melalui penulisan dalam pelbagai bidang, termasuklah dalam Sains dan Teknologi perlulah lebih meluas dan tidak terhad kepada golongan ilmuwan semata-mata. Masyarakat umum seharusnya boleh memanfaatkan kajian dan penemuan oleh penyelidik disamping dapat menggunakan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, wacana ilmiah oleh ahli akademia lumrahnya hanya terbatas di dalam dewan atau seminar akademik yang ditujukan untuk mahasiswa dan kelompok tertentu sahaja. Hal ini kerana sifat wacana itu yang terlalu khusus dan teknikal. Walau bagaimanapun, dalam hal yang lebih umum dan asas, perbahasan wacana boleh sahaja dimanfaatkan oleh manyarakat, terutamanya perbincangan oleh pakar bidang yang aktif mempromosikan hasil penyelidikan menrusi medium arus perdana.
Oleh itu, bagaimana untuk memasyarakatkan dan membudayakan ilmu terus dipupuk dalam masyarakat? Jawapannya adalah melalui penulisan dan pembacaan. Penulisan merupakan unsur penting yang dapat memastikan perkembangan ilmu semasa terus disemarakkan. Justeru, usaha memasyarakatkan adalah melalui penulisan atau karya-karya yang dapat difahami dengan mudah sehingga ke lapisan masyarakat yang bawah. Karya saintifik bukan hanya untuk mereka yang berada dalam ruang lingkup sains tetapi ia boleh disampaikan dalam bentuk yang disenangi dan nilai-nilainya mudah terserap
dalam jiwa setiap manusia.
Ahli akademik merupakan antara tulang belakang yang akan menguatkan institusi pendidikan di negara kita yang seterusnya boleh dijadikan sebagai tarikan kepada pelajar atau penyelidik dari luar. Sistem pendidikan yang berkualiti dengan pengajaran yang dinamik, penyelidikan yang berimpak dan sokongan kerajaan mampu menjadikan Malaysia muncul sebagai hub pendidikan yang cemerlang di masa akan datang.
Selamat Hari Akademia buat seluruh ahli akademik di Malaysia! Semoga dedikasi mereka terus menyemarakkan semangat dalam pembangunan negara.
Oleh: Dr. Wan Mohd Nuzul Hakimi Wan Salleh
Pensyarah Kanan di Jabatan Kimia
Fakulti Sains dan Matematik
Universiti Pendidikan Sultan Idris