KUALA LUMPUR – Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang pernah mamberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau ternampak kelibat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low,berada di rumah Datuk Seri Najib Tun Razak di Kenny Hills, Bukit Tunku, di sini.
Tek Kuang mendakwa, beliau melihat Jho Low tiba menaiki sebuah kereta manakala pegawai AmBank itu dihantar oleh pemandu dengan kenderaan lain ke rumah Najib.
Tambahnya, beliau ke rumah bekas Perdana Menteri itu bagi menyerahkan dokumen pembukaan akaun untuk ditandatangani bekas Perdana menteri itu dan dibawa balik ke Cawangan Raja Chulan sebelum diserahkan kepada bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu.
“Saya tidak bercakap dengan Jho Low sebaliknya terus berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di ruang tamu,” katanya pada prosiding 1MDB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, di sini, hari ini.
Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Bekas Perdana menteri itu turut berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Ketika soal balas peguam, Tan Sri Muhammad Shafee sama ada Tek Kuang mengenali Jho Low, beliau memberitahu, walaupun pernah bertemunya beberapa kali pada majlis tertentu namun saksi itu tidak rapat dengan ahli perniagaan tersebut.
“Jho Low suka datang lewat, itu memang tabiatnya. Pernah sekali Jho Low datang lewat masa Joanna buat temu janji dengannya,” ujarnya
Ketika Muhammad Shafee bertanya sama ada pernah menerima telefon pintar Blackberry, Tek Kuang menafikan pernah menerimanya.
Prosiding bersambung esok. – MalaysiaGazette