Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bercakap kepada media selepas Taklimat Khas Kepada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng , Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran di Kementerian Sumber Manusia Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia menafikan dakwaan beberapa pemimpin DAP mengenai kekurangan pekerja asing di negara ini ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri S Saravanan sebaliknya berkata, negara ketika ini mempunyai 1.24 juta pekerja asing yang mana perangkaan tersebut hampir sama sebelum Malaysia dilanda Covid-19, dua tahun lalu.

Namun jelas beliau, kerajaan perlu membuat keputusan bijak dalam meluluskan kemasukan pekerja asing yang berlebihan hingga memberi impak kepada rakyat tempatan.

“Saya telah memberi dokumen yang sah dan sehingga hari ini kita telah ada 1.24 juta pekerjaan dalam keadaan biasa sebelum Covid-19.

“Pekerja asing yang ada di negara ini sebelum Covid-19 adalah 1.5 juta.

“Namun kerajaan perlu berhati-hati untuk membawa masuk pekerja asing sehingga menjejas peluang pekerjaan kepada rakyat sendiri dan tidak boleh tunduk semata-mata demi memenuhi permintaan majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan sesi taklimat khas yang turut dihadiri pimpinan DAP, Lim Guan Eng, M Kulasegaran dan Datuk Ngeh Khoo Ham di kementeriannya, di sini, hari ini.

Saravanan menambah, jumlah pekerja asing akan bertambah sekiranya mengambil kira lebih 238,00 pekerja asing telah diberikan pas segera.

“Ini tidak termasuk 640,000 permohonan yang menunggu proses biometrik dan perubatan yang menyaksikan pekerja asing di negara akan mencecah kepada 2.2 juta.

“Jadi, dakwaan negara sedang menghadapi masalah pekerja asing tidak benar dan cuma rekaan semata-mata oleh pembangkang,” bidasnya.

Sebelum ini, Guan Eng mengkritik Saravanan berhubung kekurangan pekerja di negara ini sejak beberapa minggu lalu. – MalaysiaGazette