KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur hari ini melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM16.89 juta.
Syabu antara dadah yang mencatatkan rampasan serta tangkapan yang tertinggi di Kuala Lumpur sejak tahun 2005 sehingga 2021 melibatkan nilai sebanyak RM10.85 juta.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, permintaan tinggi terhadap syabu dikesan sebagai faktor penyumbang utama kepada penagih dadah.
“Polis juga mendapati golongan muda antara pengguna tertinggi dadah jenis syabu atau methaphetamine ini dan rampasan serta tangkapan melibatkan dadah ini melibatkan serbuan di pusat-pusat hiburan sahaja.
“Nilai dan jumlah rampasan dadah ini berbeza-berbeza mengikut setiap negeri, di Kuala Lumpur ini, kita dapati syabu mencatatkan jumlah paling tinggi setakat ini yang melibatkan kawasan Cheras, ” katanya dalam sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Tambah beliau, kesemua barang kes dadah yang dilupuskan pada pagi ini merupakan kes yang telah selesai perbicaraan dan mendapat arahan mahkamah untuk dilupuskan.
“Pelupusan kesemua jenis dadah ini melibatkan sejumlah 2,894 kertas siasatan daripada keseluruhan 242,290 kertas siasatan yang telah dibuka sejak 2005 hingga 2021.
“Antara dadah yang telah dilupuskan selepas mendapat arahan mahkamah adalah Methapatamine bernilai RM10.85 juta, kanabis bernilai RM3.31 juta, ketamin bernilai RM2.14 juta, MDMA bernilai RM409,000, air ketum bernilai RM11,000 dan pelbagai bahan kimia serta peralatan digunakan memproses dadah.
“Kebolehgunaan kesemua dadah yang dilupuskan ini meliputi 450,000 pengguna,” tegasnya.- MalaysiaGazette