BALING – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memperuntukkan hampir RM1 juta untuk diagih bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas akibat bencana di seluruh negara sejak Januari sehingga September lalu.
Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, peruntukkan tersebut adalah di bawah Tabung Kumpulan Wang Nafas.
Katanya, ia akan memanfaatkan hampir 5,000 ahli peladang dengan harapan agar membantu meringankan beban ditanggung mangsa-mangsa berkenaan.
“Sumbangan ini meliputi bukan sahaja mangsa-mangsa banjir tetapi juga bencana-bencana lain termasuklah ribut, kemarau, wabak, kebakaran dan lain-lain lagi.
“Walaupun nilai yang disumbangkan tidak sebesar mana tetapi ini adalah keprihatinan Nafas untuk membantu ahli-ahli peladang, tidak kira bencana apa yang mereka alami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan wang tunai sebanyak RM200 kepada 50 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Baling yang terjejas akibat banjir Julai lalu, di dewan Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Khairiah dekat sini, hari ini.
Zamri berkata, selain daripada bantuan kewangan, Nafas juga menyediakan bekalan barangan keperluan serta tenaga bagi misi pasca bencana.
“Misi pasca bencana ini kita buat kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), kita bantu mangsa-mangsa bencana untuk lalukan kerja-kerja pembersihan,” katanya.
Sementara itu, pada majlis sama, Zamri turut menyampaikan replika cek berjumlah RM50,000 kepada PPK Baling bagi membantu 250 ahli PPK yang terjejas akibat banjir Julai lalu.
“Sumbangan ini lanjutan daripada penyampaian sumbangan yang disalurkan pada 19 Julai lalu. Keseluruhan sumbangan berjumlah RM120,000 membabitkan seramai 600 ahli PPK.
“Sumbangan ini diagihkan secara berperingkat kepada ahli peladang yang terjejas, program di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Nafas ini diharap dapat meringankan sedikit sebanyak meringankan beban kerugian yang ditanggung ahli peladang yang dilanda musibah banjir,” tambahnya. – MalaysiaGazette