Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Tujuan sebenar Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 digubal bagi melindungi rakyat negara ini terutama golongan B40 daripada terus menjadi mangsa syarikat tembakau, selain keselamatan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendakwa, golongan B40 adalah paling ramai yang terkesan akibat penggunaan tembakau berbanding kelompok lain.

“Majoriti rakyat yang mengalami komplikasi penyakit akibat rokok seperti sakit jantung, kanser, penyakit paru-paru adalah dalam kalangan golongan miskin tegar B40.

“Tahu tak kenapa?..sebab golongan B40 inilah yang menjadi kumpulan sasaran pengguna bagi syarikat-syarikat tembakau. Adalah tidak masuk akal, kerajaan mahu menyusahkan mereka.

“Kerajaan sebenarnya mahu melindungi kumpulan (B40) ini daripada syarikat-syarikat pembunuh (tembakau) ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Portal KKMNOW Kementerian Kesihatan di ibu pejabat KKM tengahari ini.

Pada majlis sama, Khairy turut membidas dakwaan segelintir pihak kononnya RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan membawa implikasi  jenayah kanak-kanak adalah kenyataan untuk mengelirukan rakyat.

Ini kerana, kompaun kepada bukan orang dewasa memang sudah wujud dalam peraturan sedia ada.

”RUU ini bukan untuk mendaftarkan kanak-kanak sebagai penjenayah kerana ia adalah kes saman dan tidak masuk penjara.

“Malah tiada pun hukuman penjara bagi orang bukan dewasa untuk kesalahan merokok ataupun RUU baharu yang lahir selepas itu. Ia tidak ada kes jenayah, semua adalah kes saman.. Jangan cuba kelirukan rakyat dengan dakwaan sedemikian, ia tidak betul,” tegas beliau.

Seperti contoh, katanya, jika seorang kanak-kanak ditahan kerana membeli rokok, dia hanya akan disaman RM50 dan tiada rekod malah jumlah saman itu, boleh dibayar dan tidak perlu pergi ke mahkamah dan ia sama juga dengan RUU yang baharu ini.

Tegasnya, RUU ini telah melalui pelbagai proses perbincangan melalui jawatankuasa khas yang dianggotai ahli yang mewakili semua parti politik utama.

Menurutnya, semua parti seperti Amanah, DAP, PKR, Pejuang dan Warisan juga telah bersetuju dengan pindaan itu tersebut.

“Bagaimanapun, saya difahamkan tadi ada memorandum diserahkan oleh seorang individu yang mewakili satu kumpulan atau organisasi, yang difahamkan ditaja syarikat tembakau.

“Perlu ingat, kita perlu betul-betul bebaskan diri daripada sebarang konflik kepentingan,” tegasnya. – MalaysiaGazette