Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Pembubaran Majlis Pemulihan Negara (MPN) hanya boleh dibubar oleh kerajaan dan Jemaah Kabinet.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menegaskan, MPN hanyalah badan penasihat kepada kerajaan dan bertindak sebagai pelengkap dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan.

“MPN tidak mempunyai kuasa eksekutif dan hanya bertindak sebagai badan penasihat kepada Kerajaan semata-mata.

“Ini bermakna, kuasa bagi membubarkan MPN adalah tertakluk kepada Jemaah Menteri dan pihak Kerajaan,” kata Tengku Zafrul dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Tengku zafrul menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (Bagan-PH) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk membubarkan MPN memandangkan peranannya tidak membuahkan hasil.

Guan Eng mempersoalkan tugas MPN yang mana cadangan pengurusan ekonomi badan tersebut tidak diterima pakai oleh pihak kerajaan, khususnya langkah mengurangkan inflasi dan inflasi makanan.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilapor menggesa MPN dibubarkan berikutan fungsinya yang tidak jelas dan tidak perlu.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata gesaan itu antara lain dibuat berikutan MPN dikatakan bertindih dengan fungsi badan pemikir dan agensi kerajaan lain sebagai penasihat serta pelaksana.

MPN ditubuhkan pada 21 Julai tahun lalu oleh Jemaah Menteri melalui Memorandum Jemaah Menteri daripada Kementerian Kewangan.

Sepanjang tahun 2022, MPN telah bermesyuarat sebanyak sembilan kali dan telah mencadangkan pelbagai cadangan dan inisiatif utama antaranya melibatkan kekurangan pekerja asing, bantuan kepada Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS), dfan keciciran pembelajaran akibat penutupan institusi pendidikan semasa tempoh pandemik Covid-19.

Pada 27 September lalu, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui beliau kecewa apabila hanya 16 daripada 69 perakuan berkaitan isu utama yang diusulkan majlis itu, dilaksanakan kerajaan.

Katanya, 30 daripada 69 perakuan berkenaan masih dalam pelaksanaan, 14 lagi belum dilaksanakan atau tiada maklum balas daripada kementerian atau agensi berkaitan, manakala sembilan lagi masih menunggu keputusan Kabinet. – MalaysiaGazette