Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-39 tahun ini adalah 1,460 berbanding 1,533 kes pada minggu sebelumnya dengan menyaksikan dua kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes demam denggi itu menunjukkan penurunan sebanyak 73 kes (4.8%).

Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 43,544 kes berbanding 19,886 kes bagi tempoh sama tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 23,658 kes (119%).

Manakala sebanyak 26 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 13 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2021.

Menurut beliau, jumlah lokaliti hotspot denggi terus meningkat dengan sebanyak 55 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 48 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Daripada 55 lokaliti hotspot tersebut, 33 (60%) lokaliti berada di Negeri Selangor, 16 (29%) lokaliti di Sabah dan enam (6) (11%) lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, survelan chikungunya merekodkan sebanyak tiga kes pada minggu ke-39 dengan kesemua kes dilaporkan dari Negeri Selangor, menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 649 kes.

Bagi survelan zika pula, sebanyak 1,488 sampel darah dan 15 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Dalam pada itu, Noor Hisham meminta semua pihak memastikan tiada bekas berpotensi pembiakan nyamuk aedes di sekeliling rumah termasuk di kawasan kebun-kebun komuniti susulan ramalan peralihan monsun bermula 3 Oktober ini hingga awal bulan depan.

”Lupuskan barang lusuh atau yang tidak digunakan di tempat pembuangan yang ditentukan. Bagi kawasan di dalam rumah, periksa alas mesin penapis air, lapik pinggan, lapik pasu dan pastikan tiada air bertakung. – MalaysiaGazette