Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Pencerobohan China di ruang udara dan perairan Malaysia di Laut China Selatan yang mencabul kedaulatan negara sehingga mengundang kebimbangan dalam kalangan rakyat pasti menjadi antara keutamaan Barisan Nasional (BN).

Ini pendapat Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berhubung konflik itu dan berkata, krisis berkenaan tidak boleh dipandang remeh.

Namun beliau percaya rundingan antarabangsa mampu memberikan penyelesaian terbaik.

“Isu pencerobohan mana-mana pihak ke kawasan perairan dan sempadan negara adalah sesuatu yang serius. Justeru saya percaya pihak kerajaan mengambil segala langkah strategik keselamatan untuk mengekang sebarang bentuk pencerobohan yang boleh menggugat kedaulatan negara.

“Perlu kita semua ingat bahawa isu Laut Cina Selatan juga berkait dengan kedudukan geo politik kuasa-kuasa besar yang sedang bersaing untuk menguasai jalur perairan yang strategik. Ini termasuklah isu perselisihan sempadan (territorial dispute) melibatkan China, Malaysia, Filipina, Brunei dan Vietnam.

“Justeru ia perlukan langkah perundingan antarabangsa bagi mencapai penyelesaian terbaik. Ia juga demi mengelakkan Laut Cina Selatan menjadi satu lagi medan baru pertembungan kuasa-kuasa besar,” katanya hari ini.

Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berpandangan kehadiran pihak berkuasa perlu ditambah di sepanjang perairan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini seperti dilaporkan sebelum ini.

“Isu ini memang serius, kita amat faham sentimen rakyat khasnya di Sabah dan Sarawak berikutan pencerobohan yang kerap berlaku. Kita juga perlu menambah kehadiran pihak berwajib di sepanjang kawasan perairan pada setiap masa,” ujarnya.

khaled nordin
Mohamed Khaled Nordin

Difahamkan, Pengerusi Manifesto BN, Datuk Seri Khaled Nordin akan memperincikan isu serta krisis Laut China Selatan sebelum memasukkannya sebagai sebahagian daripada dasar luar negara dalam masa terdekat ini.

Untuk makluman, Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 (2018) telah memberi amaran melalui angka pencerobohan sebanyak 89 kali bermula 2016 hingga 2019.

Selain itu, tahun ini juga CNN melaporkan, Kementerian Luar China menggambarkan latihan ketenteraannya di Laut China Selatan diadakan dalam wilayah negaranya.

Beijing sebelum ini mendakwa hampir semua daripada 3.36 juta kilometer persegi Laut China Selatan adalah miliknya dan telah membina kemudahan tentera di beberapa kawasan tanah sejak beberapa tahun lalu di laut tersebut.

Kemudahan tentera itu termasuk pelancar antipeluru berpandu di sebuah pulau di Laut China Selatan dibuat selepas presiden negara itu, Xi Jinping berjanji kepada Presiden Amerika Syarikat ketika itu Barack Obama pada tahun 2015 bahawa pulau-pulau di laut tersebut tidak akan dijadikan kawasan ketenteraan. -MalaysiaGazette