KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Pintu Utama Istana Negara pada jam 3.49 petang tadi untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan baginda pada jam 4 petang ini.
Acara mengadap Yang di-Pertuan Agong oleh Perdana Menteri merupakan rutin biasa bagi memberi taklimat tentang perkara akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Selain itu, kebiasaannya Perdana Menteri akan mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum pembentangan bajet.
Kerajaan akan membentangkan Bajet 2023, petang esok.
Terdahulu, Ismail Sabri yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih dengan diiringi polis.
Sebelum melepasi Pintu Utama Istana Negara, Ismail Sabri sempat menurunkan tingkap kenderaan itu dan melambai ke arah petugas-petugas media yang bertugas sejak jam 7.30 pagi tadi.
Istana Negara kembali menjadi tumpuan petugas media sejak awal pagi ini ekoran desas-desus mengatakan Perdana Menteri, dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan bagi pembubaran Parlimen Penggal ke-14.
Ia susulan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 30 September lalu yang memutuskan agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini. – MalaysiaGazette