Joko Widodo. Foto CNN

JAKARTA – Tragedi 1 Okt di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur dikenal pasti berpunca daripada pintu keluar terkunci, kata Presiden Indonesia Joko Widodo.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Jokowi berkata tinjauannya di stadium pada Khamis mendapati tangga ke pintu keluar juga terlalu curam dan ditambah dengan penyokong yang panik.

“Hal itu perlu dilihat secara terperinci oleh jawatankuasa khas bebas dan yang paling penting ialah keseluruhan bangunan stadium akan diaudit oleh Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Rakyat (PUPR),” katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian itu juga diarah mengaudit dan memperbaiki semua stadium yang menjadi venue perlawanan dalam liga bola sepak sesuai dengan standard yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

FIFA menyatakan kesediaan untuk membantu menambah baik pengurusan stadium semasa perbualan telefon dengan Presiden Gianni Infantino pada Isnin, kata Jokowi.

Menurutnya, pentadbir, pengurusan stadium, penonton dan keselamatan memerlukan penilaian menyeluruh agar kejadian selepas perlawanan antara Arema FC dan Persebaya Surabaya tidak berulang.

Beliau dan isteri Iriana mengunjungi hospital di Malang untuk melawat mangsa dan memberikan pampasan 50 juta rupiah (sekitar RM15,000) kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Tragedi itu berlaku selepas pasukan Arema FC tewas, mencetuskan kemarahan penyokongnya yang memasuki padang untuk bersemuka dengan pemain dan pegawai pasukan itu selepas perlawanan tamat.

Keadaan tegang memaksa pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata yang menyebabkan ribuan penyokong berasak-asak untuk keluar stadium melalui beberapa pintu sehingga berlaku rempuhan.

Sementara itu, Angkatan Darat Tentera Nasional Indonesia menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa khas bebas untuk menyiasat mengenai dakwaan beberapa anggotanya yang melakukan kekerasan semasa menyuraikan rusuhan.

Bagaimanapun, Ketua Staf Jeneral Dudung Abdurachman berkata kekerasan yang dilakukan kemungkinan bersebab dan ramai anggotanya turut membantu menyelamatkan penyokong.

Dalam video yang tular di media sosial, anggota tentera yang turut serta menjaga keselamatan di stadium bertindak kasar dengan menendang penyokong bola sepak hingga terjatuh. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast