Noryn Aziz, Raja Azura dan Zara Zya antara selebriti yang turut hadir memberikan sokongan kepada Fashion Fights Cancer.

KUALA LUMPUR – Hab fesyen terkemuka, Variante melancarkan tiga rekaan eksklusif hijab bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat dan sekaligus menyuntik semangat pejuang kanser sepanjang Oktober ini sempena Bulan Kesedaran Kanser.

Bertemakan By survivors, for survivors, kerjasama dengan Pink Unity di bawah National Cancer Society of Malaysia (NCSM) dilihat merupakan peluang terbaik untuk menyumbang kepada masyarakat dan pejuang kanser khususnya.

Menurut pengasas dan Pengarah Urusan dan Kreatif Variante, Leslie Variyan, rekaan tiga hijab berbentuk bawal berlatarkan Pink Carnation itu menjadi inspirasi yang mewakili kasih sayang, kesyukuran dan penghargaan untuk disebarkan kepada masyarakat.

“Kami memilih untuk bekerjasama dengan Pink Unity kerana mahu bersama-sama dalam perjuangan ini dan mengubah dunia.

“Dan saya melihat Pink Unity sebagai satu sistem sokongan yang kuat bagi pejuang kanser. Kanser juga bukanlah ‘hukuman mati’ dan okongan yang betul akan mengubah cara pemikiran dan penerimaan.

“Saya sendiri kehilangan bapa dan kakak ipar akibat kanser. Apabila seseorang disahkan mengidap penyakit ini, sistem sokongan sangat penting bagi membantu mereka mengharungi ujian,” katanya pada majlis Fashion Fights Cancer semalam.

Variante melancarkan tiga rekaan eksklusif hijab bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada Pink Unity.

Sementara itu, Pengerusi Pink Unity, Lena Abdullah merakamkan penghargaan atas usahasama bersama Variante dan berharap agar lebih ramai yang cakna akan kanser.

“Lebih 10 tahun Variante membantu Pink Unity dan saya masih ingat, Leslie merupakan insan pertama yang menaja pakaian dan baju kurung untuk pejuang kanser sempena Islamic Fesyen Show. Waktu itu kami tiada dana yang cukup untuk menyediakan lebih 20 busana dan Variante tampil dan sediakan secara percuma.

“Kita tidak akan mati kerana kanser kerana ia boleh dirawat. Kanser adalah anugerah dari Allah, kita akan menjadi insan yang lebih baik. Buat rawatan dan jangan tunggu sehingga tahap terakhir.

“Kita kenal tubuh badan kita. Andai ada apa sahaja yang lain dirasai, terus berjumpa doktor. Jangan ambil masa yang lama, terus ambil tindakan,” jelasnya.

Sempena Fashion Fights Cancer, sebahagian hasil jualan tudung dan seleksi pakaian di butik Variante sepanjang Oktober akan disalurkan kepada Pink Unity sebagai tanda sokongan terhadap Bulan Kesedaran Kanser.

Bagi menyatakan sokongan anda buat pejuang kanser, lakukan pembelian di www.variante.com.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast