Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan berlangsung sebelum ketibaan Monsun Timur Laut pertengahan November ini.

Dalam klip video yang dikongsi di media sosialnya ketika bersarapan bersama Unit Komunikasi Korporat (UKK) kementeriannya beliau berkata, pilihan raya tidak sesuai diadakan selepas tempoh tersebut.

“Kita pun tak tahu macam mana hari ini. Tapi kita belum tahu keadaan, situsai sama ada tahun ini atau tahun depan.

“Ramai kata kemungkinan tahun ini hendak dibubar Parlimen. Tapi kalau tahun ini kemungkinan sebelum Monsun Timur Laut pertengahan bulan November terpaksa buat, mengundi sebelum pertengahan bulan November.

“Kalau lewat itu sudah tidak sesuai, banjir. Sekarang pun tiap-tiap hari sudah hujan. Tapi apapun kita buat kerjalah. Insya-Allah,” katanya dalam video tersebut.

Dalam kapsyen pada video berkenaan, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, beliau menerima jemputan untuk bersarapan dengan UKK kementerian hari ini.

Beliau memberi bayangan kepada bahawa ia merupakan sarapan terakhir beliau bersama unit tersebut.

“Saya dijemput oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK) KASA untuk sarapan pagi bersama. Nasi lemak dan kuih muih. Sarapan terakhir bersama agaknya.

“UKK banyak membantu saya dalam memastikan kelancaran program, perantara dengan pihak media dan membuat liputan program kementerian.

“Kita buat kerja sungguh-sungguh. Allah tentukan. Ada rezeki kita makan-makan lagi. Terima kasih,” katanya.

Tuan Ibrahim antara menteri yang hadir dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi tadi.

Beliau juga akan hadir sesi pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Negara yang akan berlangsung petang ini.

Pembubaran Parlimen terus diperkatakan sejak awal minggu ini dan ia diperkuat selepas Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pembatalkan enam proklamasi dan ordinan darurat yang diisytiharkan kerajaan bagi menangguhkan pilihan raya sepanjang tempoh usaha menangani penularan pandemik Covid-19 di negara ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast