Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) akan diubah kepada empangan harian.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam perancangan mengubah Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) di Seberang Perai Tengah (SPT) daripada empangan rizab kemarau strategik kepada empangan harian.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata, rancangan itu bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan air tidak berjadual di seluruh negeri apabila kekeruhan tinggi air mentah dari Sungai Muda mengancam operasi air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Jelab beliau, objektif lain rancangan tersebut adalah untuk merawat air dari empangan terbesar Pulau Pinang setiap hari, bagi menyokong pertambahan permintaan air di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

“Perubahan EMD akan berfungsi seperti Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di bahagian pulau.

Jaseni.

“Malah, kita merancang untuk membuka potensi penuh EMD, empangan terbesar di Pulau Pinang, untuk mengurangkan risiko bekalan air dan menangani permintaan air yang semakin bertambah.

“Ia termasuk pabila paras air Sungai Muda rendah ketika musim kemarau atau apabila kualiti air Sungai Muda terjejas dan tidak boleh dirawat,” katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, Jaseni berkata, dalam tempoh Julai hingga September 2022, PBAPP melaporkan tiga insiden kekeruhan air mentah yang tinggi dari Sungai Muda.

Kata beliau, kemungkinan punca fenomena itu adalah tiga kejadian banjir kilat yang dilaporkan di Baling, Kedah di bahagian hulu muka sauk PBAPP Lahar Tiang.

“Pada Julai 2022, air yang sangat keruh dari Sungai Muda memaksa PBAPP menghentikan tugas LRA Sungai Dua menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual seluruh negeri selama enam hari.

“Jadi untuk meminimumkan risiko berulang, PBAPP bercadang untuk menghentikan sementara abstraksi air mentah dari Sungai Muda apabila kejadian seperti itu berulang pada masa hadapan.

“Oleh itu, PBAPP akan membangunkan kapasiti untuk melepaskan 1,000 juta liter sehari (JLH) dari Empangan Mengkuang pada masa hadapan, apabila kualiti air mentah Sungai Muda terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette