Gambar hiasan

NEW YORK – Amaran global telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WHO) berhubung empat ubat batuk sirap yang dikaitkan dengan kematian 66 orang kanak-kanak di Gambia

“Ubat batuk sirap itu dikaitkan dengan masalah buah pinggang akut dan 66 kematian dalam kalangan kanak-kanak”, katanya.

WHO berkata, produk itu dikeluarkan oleh syarikat India, Maiden Pharmaceuticals, yang gagal memberikan jaminan tentang keselamatan.

Setakat ini firma farmaseutikal itu belum membuat kenyataan.

WHO mengenal pasti ubat-ubatan tersebut sebagai Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup.

Empat produk itu telah dikenal pasti di Gambia tetapi “mungkin telah diedarkan, melalui pasaran tidak rasmi, ke negara atau wilayah lain”, kata WHO dalam amarannya yang diterbitkan melalui laman sesawang.

Dalam amarannya, WHO berkata, penggunaan ubat batuk sirap itu boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kematian, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Campur tangan WHO dibuat selepas pihak berkuasa perubatan di Gambia mengesan peningkatan kes kecederaan buah pinggang akut dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun pada akhir Julai lalu.

Sejak itu, Kerajaan Gambia telah menggantung penggunaan semua sirap parasetamol dan menggesa orang ramai untuk menggunakan tablet.

Jumlah kematian telah menurun sejak larangan itu tetapi dua lagi maut dalam dua minggu lalu.

Bercakap kepada BBC, Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Gambia, Mustapha Bittay berkata, pada masa ini negara itu tidak mempunyai makmal yang mampu menguji sama ada ubat tersebut.

Bagaimanapun, WHO berkata, analisis makmal sampel produk mengesahkan bahan dietilena glikol dan etilena glikol dalam ubat tersebut sudah cemar.

Bahan-bahan itu adalah toksik dan boleh menyebabkan sakit perut, muntah, cirit-birit, ketidakupayaan untuk membuang air kecil, sakit kepala, keadaan mental yang berubah dan kecederaan buah pinggang akut hingga menyebabkan kematian. – MalaysiaGazette