Mohammad Hamdan Wahid

PUTRAJAYA – Paras air sungai di empat negeri ketika ini berada pada paras normal melalui pemantauan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kenaikan air yang berlaku sebelum ini adalah hanya untuk sementara.

Menurut Mohamad Hamdan, pihaknya juga telah menghantar laporan kepada pasukan bertindak banjir.

“Semalam Tan Sri Ketua Setiausaha Negara bertanya sama ada status yang disebut dalam viral itu bahaya, kita telah pergi kita melihat airnya telah pun turun ke paras yang lebih normal.

“Bermakna sekarang dalam keadaan baik. Cuma pemantauan akan diteruskan kerana salah satu pemantauan udara adalah untuk melihat beberapa ampangan yang kritikal yang mungkin air lebih melimpah kerana hujan, kita akan tengok jika ia paras bahaya. Jika bahaya kita akan berkomunikasi dengan agensi lain,” jelas Mohammad Hamdan.

Beliau ditemui ketika hadir pada sambutan Hari Sukan Negara peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib.

Mohammad Hamdan Wahid ketika ditemubual oleh media.

Mohammad Hamdan turut memaklumkan semua pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara telah ditutup dan tidak ada sebarang mangsa banjir direkodkan sehingga pukul 8 pagi tadi.

“Sebenarnya PPS di seluruh negara telah pun ditutup. Semalam di Johor ada dua PPS telah ditutup. Sekarang ini tidak ada mangsa ditempatkan di PPS.

“Dalam erti kata tidaklah banjir ini sehingga menyebabkan mangsa dipindahkan ke tempat pemindahan sementara.

“Walau bagaimanapun pemantauan tempat-tempat disebut semalam masih lagi diteruskan oleh pelbagai agensi polis, bomba dan lain,” katanya.

Beliau menegaskan, kolaborasi antara jabatan dengan agensi kecemasan amat baik dan diteruskan dengan pemantauan oleh pemimpin dalam Nadma dan Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, Ketua Polis Negara turut sensitif dengan laporan rakyat dan berkongsi laporan dengan JBPM.

Semalam media melaporkan beberapa sungai utama di empat negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Johor mencatatkan peningkatan paras air selepas hujan lebat melanda negara.

Dua sungai di Negeri Sembilan berada pada peringkat amaran jingga. Sungai yang terlibat adalah Sungai Linggi di Mantau, Seremban dan Sungai Jimah di Pekan Linggi, Port Dickson.

Sungai Linggi dilaporkan berada pada paras 34.49 meter, manakala Sungai Jimah berada di paras 8.78 meter melebihi dari tahap paras amaran.

Selain itu dua sungai lagi di Negeri Sembilan berada pada paras hati-hati (kuning). Dua sungai tersebut ialah Sungai Linggi di Dusun Nior, Seremban dan Sungai Linggi di Pekan Linggi.

Di Melaka pula paras air Sungai Melaka di Batu Hampar telah meningkat kepada paras amaran selepas berlaku peningkatan pada tahap 1.81 meter.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut memberi amaran bahawa paras air di beberapa kawasan di Selangor dilaporkan berada pada paras bahaya sebentar tadi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast