Presiden Parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika bercakap pada sidang media selepas selesai menghadiri ke Sidang Muda di Connexion Conference Centre, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendakwa pembentangan Bajet 2023 tanpa dibahas di Parlimen kerana mahu menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan cubaan memperlekehkan lebih 21 juta pengundi di negara ini.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tiada gunanya jika Bajet 2023 diperlakukan sebegitu dan lebih baik kerajaan membubarkan terus Dewan Rakyat.

“Itu seperti memperlekehkan rakyat, sudah dibentangkan sebelum dibahaskan, sebelum ada sistem semak dan imbang, terus bubarkan.

“Rasanya belanjawan itu belanjawan tipu dan itu mengecilkan peranan penjawat awam.

“Mereka sudah berbulan-bulan buat persediaan bajet, bentangkan terus bubar

“Kalau nak bubar, bubarlah sebelum (bentang bajet), jangan mengheret rakyat ke pentas ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Sidang Muda 2022 di Connexion Conference & Event Centre, di Bangsar South, di sini.

Tambahnya, pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat seolah-olah hanya dilakukan sekadar cukup syarat untuk memenuhi tuntutan pihak tertentu sahaja.

“Suasana sangat berlainan, separuh masa berlalu, ada pimpinan tertinggi parti presiden di sebelah pihak sana terus tak datang semula, dia keluar terus.

“Ada beberapa ahli Parlimen Menteri tidur, sampai saya tak ada gambar nak perlekehkan.

“Macam orang tak ambil serius, jangan memperkecil dan memperlekehkan rakyat, lepas bentang terus bubar, tak ada perbahasan, lebih baik tak payah bentang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast