Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan pelancaran Hari Sukan Negara 2022.

PUTRAJAYA – Hari Sukan Negara (HSN) 2022 yang bermula hari ini menyasarkan penglibatan seramai 4.5 juta rakyat Malaysia berbanding 2.6 juta peserta tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pandemik Covid-19 yang melanda negara sebelum ini tidak akan menghalang rakyat untuk terus kekal cergas dan mengamalkan gaya hidup aktif dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa Peralihan ke Endemik.

“Alhamdulillah situasi keadaan semasa telah beransur-ansur kembali kepada keadaan yang lebih baik. Jadi, sudah tidak ada alasan untuk kita tidak bersenam atau bersukan,” kata Ismail Sabri dalam ucapan pelancaran HSN 2022 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, Hari Sukan Negara telah meletakkan aktiviti sukan dan riadah sebagai satu medium bagi menerapkan gaya hidup aktif dan cergas sepanjang hayat dalam kalangan Keluarga Malaysia seperti yang dihasratkan dalam Dasar Sukan Negara.

Pembudayaan sukan menurut Ismail Sabri, bertujuan meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan mental masyarakat, mengenal pasti bakat sukan, meningkatkan produktiviti, menjana kesejahteraan dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia.

“Pada sambutan HSN2022 ini, terdapat banyak aktiviti telah direkodkan menerusi Portal Hari Sukan Negara.

“Saya dapat melihat penglibatan seluruh rakyat daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa.

“Saya yakin program ini dapat mencapai hasrat untuk menggalakkan masyarakat bersukan sebagai sebahagian daripada budaya gaya hidup sihat dan aktif,” kata Ismail Sabri.

Terdapat empat strategi yang digunakan untuk pelaksanaan HSN2022 iaitu pelaksanaan secara menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi.

Kedua kerjasama strategik dengan pemegang taruh dan rentas Kementerian/Agensi bagi menganjurkan aktiviti sukan, rekreasi dan kecergasan.

Ketiga melibatkan golongan profesional, pempengaruh sosial atau social influencer, pemain industri sukan, atlet dan ikon-ikon sukan untuk menarik penglibatan rakyat dalam aktiviti-aktivti yang dianjurkan.

Terakhir, perintis kepada semua pemain industri sukan bagi menonjolkan peranan dan fungsi masing-masing kepada masyarakat sekali gus menjadi pencetus pembentukan ekosistem industri sukan negara. – MalaysiaGazette