Jemaah Malaysia tetap memakain pelitup hidung dan mulut ketika menyampaikan bantuan makanan kepada orang ramai di pekarangan Masjidil Haram di Mekah.

MEKAH – Para jemaah umrah Malaysia di Tanah Suci Mekah dan solat di Masjid Nabawi, Madinah tetap mengambil langkah-langkah keselamatan kesihatan walaupun beberapa standard operasi prosedur (SOP) berkaitan Covid-19 walaupun ia telah ditarik balik sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi.

Antara perkembangan terbaharu di Arab Saudi, para jemaah tidak lagi memerlukan penjarakan ketika solat selain pemakaian pelitup hidung dan mulut juga tidak diwajibkan.

Selain itu, para jemaah yang menaiki bas, tren mahu pun membeli-belah, juga tidak lagi memerlukan pemakaian pelitup hidung dan mulut.

Kerajaan Arab Saudi juga tidak mensyaratkan bukti RTK atau PCR bagi jemaah yang hendak berkunjunga ke negara itu bagi mengerjakan umrah.

Namun bagi kebanyakan jemaah dari Malaysia, pemakaian pelitup hidung dan mulut bukan sahaja menjadi satu kebiasan malah trend dalam kehidupan harian terutama ketika berada dalam kalangan ramai.

Perunding Umrah dan Ziarah Hi-Fly Travel & Tours, Izudin Muhamad Amin berkata, pihaknya yang mengendalikan lebih 60 jemaah Malaysia minggu ini, sentiasa memberi taklimat dari semasa ke semasa mengenai pencegahan Covid-19.

Menurutnya, langkah-langkah keselamatan kesihatan itu penting walaupun para jemaah sudah lengkap mengambil dua vaksin dan satu booster sebelum mengerjakan umrah dan ziarah.

“Walaupun kerajaan Arab Saudi sudah menarik balik beberapa SOP berkaitan pencegahaan Covid-19 namun para jemaah Malaysia sentiasa dinasihat supaya menjaga kesihatan.

“Ini termasuk menyediakan ubat-ubatan seperti ubat batuk, selesema, pelitup hidup dan mulut dan sebagainya. Kami berpuasa hati kerana sehingga kini kumpulan jemaah yang dibawa sentiasa berada dalam keadaan sihat.

“Begitu juga kumpulan jemaah sebelum ini sejak bulan Mei lalu,” katanya.

Izudin berkata, pelitup hidup dan mulut itu yang dipakai jemaah Malaysia juga bersesuaian terutama ketika ziarah di kawasan tertentu yang berabuk atau terdapat angin menerbangkan pasir.

“Para jemaah kita memahami keadaan ini termasuk mereka menyediakan kit pemeriksaan kendiri dalam memastikan tidak dijangkiti Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa mengambil SOP yang ketat terutama sebelum pulang ke tanah air.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast