KUALA LUMPUR – Junjungan besar Nabi Muhammad SAW mengajak setiap pemimpin untuk menetapkan niat betul dan berlaku jujur di dalam menjalankan amanah di samping meletakkan nilai ketakwaan sebagai pegangan utama.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, konsep pemerintahan yang dituntut Islam merupakan satu amanah sentiasa berada dalam ruang lingkup ikatan perjanjian di antara manusia dengan Allah.
Justeru itu Seri Paduka menitahkan, agar pemimpin negara mencontohi pemerintahan Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dalam pelbagai aspek kehidupan merangkumi konsep pentadbiran berasaskan good governance politik, ekonomi, keselamatan dan keadilan.
“Makanya setiap apa yang dilakukan oleh pemimpin hendaklah dibuat semata-mata atas dasar untuk menjaga kemaslahatan ummah.
“Kerana itu, Rasullullah SAW menuntut hubungan yang erat antara pemimpin dan masyarakat, yang berasaskan kepada sikap sayang menyayangi dan hormat menghormati antara satu dengan lain,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka bertitah dalam Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama pada sambutan berkenaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Titah Seri Paduka lagi, Nabi Muhammad SAW sentiasa mengutamakan kepentingan ramai berbanding individu apabila Rasulullah tidak memperjuangkan agenda sempit.
“Sebaliknya berlaku adil dengan membangunkan satu gagasan untuk kesejahteraan semua.
“Hakikatnya perbezaan sosio politik dan sosio budaya adalah merupakan lumrah dan fitrah kejadian manusia.
“Akan tetapi, Rasulullah telah mengajar kita bahawa keupayaan membentuk sebuah masyarakat yang bersatu-padu merentasi pelbagai batas perbezaan adalah merupakan resepi kepada kestabilan dan kejayaan sebuah negara,” titah Al-Sultan Abdullah.
Justeru baginda bertitah, semua pihak wajar mengambil iktibar bahawa kecemerlangan kerajaan Madinah kerana kekuatan sosio-politik yang menjaga hak dan keadilan warga, keberkesanan penyatuan ummah dan pembangunan ekonomi yang dinamik.
Al-Sultan Abdullah kemudian menyeru rakyat untuk menumpukan ke arah memelihara kemaslahatan ummah seperti mana tema sambutan ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’.
“Janganlah kita terlalu jauh menyimpang dari landasan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah. Baginda telah memberi contoh dan model yang cukup sempurna untuk kita teladani bersama. Baginda telah menerangi kita dengan jalan benar lagi adil.
“Marilah kita bangkit bersama dan memberi keutamaan kepada kemaslahatan ummah dengan menjunjung petunjuk dan tauladan yang telah diwasiatkan oleh seorang insan yang paling sempurna dan mulia,” titah Al-Sultan Abdullah. – MalaysiaGazette