Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Gara-gara berang kerana seorang wanita tidak mahu menjadi kekasihnya, seorang  lelaki bertindak mengugut mencederakan muka mangsa.

Malah pengawal keselamatan itu juga didakwa bertindak mengawal mangsa daripada berkawan dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, insiden itu menimpa mangsa wanita tempatan berusia 28 tahun itu yang tinggal di Taman Ukay Perdana pada 1 Oktober lalu.

Katanya, ketika kejadian, pengadu berada di kediamannya telah didatangi suspek yang juga kenalannya di luar pagar rumah.

“Suspek tiba-tiba memaksa untuk pengadu (mangsa) keluar daripada rumah selain mengugut untuk ‘memecahkan’ muka wanita itu jika tidak keluar untuk berjumpa dengannya.

“Siasatan lanjut mendapati suspek tidak berpuas hati terhadap wanita itu setelah mangsa tidak melayan kamahuannya untuk dijadikan teman wanita.

“Lebih menyedihkan, suspek juga mengawal pengadu dengan tidak membenarkannya berkawan dengan lelaki lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, semalam polis berjaya menahan suspek yang juga  seorang lelaki Sikh yang bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di Bangsar.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya merampas sebuah telefon bimbit suspek.

“Siasatan lanjut mendapati suspek merupakan kawan lelaki pengadu disyaki terlibat di dalam kejadian tersebut dan suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan dadah lampau.

“Siasatan teliti polis mendedahkan punca kejadian adalah suspek tidak berpuas hati pengadu tidak mahu menjadi teman wanitanya dan sepanjang 10 bulan berkawan, suspek juga tidak pernah merosakkan apa-apa harta milik mangsa dan tidak juga mengekori kenderaan mangsa.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang pagi tadi dan berjaya direman selama dua hari sehingga Isnin di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya lagi.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada ugutan jenayah mendatangkan ketakutan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette