KUALA LUMPUR – Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) sedang mencari bengkel-bengkel Skim Pembaik yang Sah PIAM (PARS) di seluruh negara melalui tender terbuka untuk menyertai panel Pembaik Sah Allianz untuk tahun 2023 dan 2024.
Jemputan akan dihantar kepada semua bengkel PARS di seluruh negara pada hari ini.
Bengkel-bengkel PARS yang berminat perlu mengemukakan permohonan sebelum atau pada 17 Oktober 2022.
Pembaik Sah Allianz adalah sebahagian dari perkhidmatan kemalangan 24-jam Allianz Road Rangers dari Allianz General, yang telah berkhidmat untuk lebih 330,000 pelanggan sejak pelancarannya pada tahun 2017 hingga Ogos 2022.
Allianz General berkata, ia telah merombak panel bengkelnya pada tahun 2020 dan telah menerima 195 buah bengkel PARS melalui sebuah
proses tender terbuka.
Ketua Tuntutan Allianz General, Damian Williams berkata, inisiatif ini untuk mengekalkan budaya persaingan dan kompeten serta menegaskan semula komitmen syarikat dalam memberikan perkhidmatan tambah nilai yang terbaik kepada pelanggan.
”Oleh itu, kami sedang mencari pembaik yang diiktiraf PARS yang boleh memenuhi kriteria perkhidmatan kami dan mampu memberikan perkhidmatan Bantuan Kemalangan dan Tepi Jalan serta perkhidmatan tambah nilai kepada pelanggan kami.
”Panel pembaik memainkan peranan yang sangat penting dalam operasi harian tetapi mengharungi persekitaran pasca pandemik adalah mencabar dengan bengkel-bengkel yang mengalami kekurangan tenaga berkemahiran, kenaikan kos pekerja dan harga alat ganti. Oleh itu, kami kini telah mengambil kesemua faktor ini sebagai pertimbangan dalam memproses permohonan tender,” tambah Damian.
Selain dari rombakan panel pembaik, Allianz General juga telah menambah baik SOP untuk menyokong dan memastikan panel pembaik kekal menguntungkan dan kekal berdaya saing.
Tambahan pula, syarikat telah memperkenalkan bayaran pendahuluan untuk kesemua pembaikan dengan 5.0% dari jumlah keseluruhan yang diluluskan akan dibayar sebaik sahaja diluluskan (termasuk kelulusan awal dan kelulusan laporan tambahan, dll), diikuti dengan 25 peratus (termasuk kelulusan tambahan) dan apabila pembaik mengemas kini progres pembaikan pada 50 peratus dan baki 25 peratus dibayar pada hari yang sama sejurus
dokumen yang berkaitan dihantar.
Allianz Road Rangers ialah sebuah perkhidmatan kemalangan 24 jam yang ditawarkan kepada semua pemegang polisi Allianz Motor Comprehensive untuk memastikan pengalaman pelanggan mudah dan lancar apabila membuat tuntutan kemalangan.
Perkhidmatan ini menawarkan talian bantuan 24 jam; pasukan bermotosikal dan trak tunda Allianz; perkhidmatan bantuan tuntutan; baucar e-hailing; kelulusan tuntutan segera dan penghantaran kenderaan. – MalaysiaGazette