JOHOR BAHRU – Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyifatkan Bajet 2023 sebagai satu bahan kempen politik Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketuanya, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata, ia dilihat umpama satu bentuk ugutan politik kepada masyarakat di mana sekiranya mereka tidak memilih BN, kesemua manfaat itu tidak akan diterima rakyat.
Oleh itu beliau mengharapkan rakyat berfikiran matang dan menggunakan kuasa undi untuk mengangkat kerajaan yang berintegriti.
“Pertama, apakah tujuan BN bersungguh-sungguh ‘memperdayakan’ rakyat dengan membentangkan Bajet 2023 yang tidak memberi apa-apa makna atau manfaat kepada rakyat apatah lagi negara.
“Kedua, apakah Bajet 2023 dibentangkan hanya sebagai strategi untuk ‘melunakkan hati’ dan menarik sokongan rakyat sebelum ditukar menjadi manifesto BN atau digembar-gemburkan dalam kempen PRU-15 dan ketiga, bolehkah angka-angka penting melibatkan nilai geran, jumlah peruntukan, projek dan bantuan wang tunai yang dibentangkan menerusi Bajet 2023 boleh diterbitkan semula dalam apa juga bentuk bagi tujuan meraih keberkesanannya atau mempengaruhi rakyat supaya menyokong BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Namun ARMADA Bersatu Johor yakin BN akan menggunakan Bajet 2023 sebagai modal utama kempen kerana Perdana Menteri awal-awal lagi secara terbuka telah meminta rakyat memberi kemenangan kepada BN pada PRU-15 supaya janji dalam bajet itu dapat dilaksanakan.
“Kami melihat kenyataan Perdana Menteri itu berbaur ugutan, paksaan atau tekanan kepada rakyat khasnya pengundi supaya menyokong dan memenangkan calon BN atau sebaliknya rakyat tidak mendapat bantuan termasuk wang tunai jika BN tewas dalam PRU-15,’” katanya lagi.
Tambah Muhammad Shamsuddin, pihaknya beranggapan Bajet 2023 sekadar ‘sandiwara politik’ BN bagi mengaburi mata rakyat daripada terpandang perbuatan dan niat mereka yang lebih utama iaitu membubarkan Parlimen bagi membuka laluan PRU-15.
“Armada Johor menyifatkan Bajet 2023 hanya umpan kerana BN sedar pembubaran Parlimen dibantah sebahagian besar rakyat, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang tidak bersetuju dengan pembubaran Parlimen yang akan memaksa PRU-15 diadakan dalam musim tengkujuh ini,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen dalam satu perutusan khas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette