KAJANG – Jabatan Penjara Malaysia mampu menjimatkan kos pengurusan penjara sebanyak RM182 juta setahun menerusi Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Program Reintegrasi Penghuni.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sebanyak RM5.5 bilion telah dibelanjakan sejak lima tahun yang lepas bagi kos pengurusan kepenjaraan untuk penyediaan peralatan, kemudahan, perubatan, makanan, kawalan, pengiringan, emolumen kakitangan dan sebagainya lagi.
“Pada tahun ini Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan seramai 10,000 banduan yang layak akan menjalani program-program tersebut.
“Pesalah-pesalah tersebut akan ditempatkan dalam industri dan seterusnya dapat mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing,” katanya dalam ucapan yang dibaca oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz pada Majlis Pelancaran Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 (Akta A1660) di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di sini, hari ini.
Beliau yakin jabatan itu akan berusaha lebih gigih melalui inisiatif dan program-program baharu bagi memulihkan penghuni penjara supaya mereka dapat kembali semula kepada masyarakat serta tidak mengulangi jenayah setelah dibebaskan.
Katanya, sistem kepenjaraan di negara ini berkaitan dengan penahanan, pemulihan banduan dan hukuman alternatif bagi pemenjaraan juga menjadi fokus utama kementerian untuk tujuan penambahbaikan.
“Kementerian juga telah mengambil langkah proaktif dalam jangkamasa pendek dan panjang bagi memastikan kita sentiasa bersedia dengan mempunyai rangka kerja komprehensif bagi menangani isu-isu tersebut,” ujarnya.
Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 yang diwartakan pada 5 September lepas adalah supaya lebih ramai pesalah kali pertama dan hukuman ringan akan dapat menjalani hukuman alternatif dan pemulihan dalam komuniti. – MalaysiaGazette