Datuk Nordin Muhamad. Foto HAZROL ZAINAL, 22 MAC 2022.

KAJANG – Jabatan Penjara Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pesalah yang menjalani hukuman meskipun ada pihak cuba membuat permohonan agar kelonggaran diberikan kepada banduan tertentu.

Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad berkata, semua individu adalah sama di sisi undang-undang dan mereka berhak mendapat perlindungan sama-rata.

Katanya, Jabatan Penjara tidak boleh berat sebelah dalam menguatkuasakan undang-undang kerana jika berlaku perkara seperti itu akan musnahlah segala sistem yang ada.

“Bila sebut mengenai perkara itu sebelum dia menjadi banduan dan selepas dia menjadi banduan, sama-rata di sisi undang-undang, kalau penjara ni ‘bias’ siapa yang nak menguatkuasakan undang-undang.

“Kalau agensi penguatkuasaan tidak boleh dipercayai, habis sistem apa kita nak jaga, di mana kita nak lindungi rakyat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 Akta A1660 di Ibu Pejabat Penjara, di sini hari ini.

Hadir pada majlis, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Nordin ditanya wartawan sama ada terdapat lagi permohonan dibuat bagi meminta pelepasan diberi kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di Penjara Kajang.

Pada sidang Dewan Rakyat minggu lepas terdapat permohonan bagi membenarkan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menghadiri sidang Parlimen, sekali gus mengikuti pembentangan Bajet 2023.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya itu masih lagi berstatus Ahli Parlimen yang sepatutnya diberikan hak untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Muhammad Shafee berpendapat, Najib juga perlu diberikan hak untuk bertemu dengan rakyat di kawasannya.

Sementara itu, ditanya sama ada Jabatan Penjara akan memberikan kelonggaran bagi membenarkan Najib berkempen untuk membantu partinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Nordin menegaskan, segalanya tertakluk kepada akta dan peraturan.

Katanya, ketika ini tidak ada permohonan dibuat oleh mana-mana pihak bagi tujuan itu.

“Kalau Datuk Seri Najib menjalani hukuman dalam penjara dia tertakluk kepada akta dan peraturan penjara, itulah yang kami pegang.

“Orang kata tidak ada kompromi lah… kalau undang-undang ada kompromi habislah… kita ikut saja kalau dia berhak kita kena bagi, tak boleh tak bagi… yang mana yang tidak berhak maknanya siapa-siapa sajalah… ini bukan double standard.

“Dalam kes orang lain, lain dalam kes lain, lain…jadi, kita kena tengok sama semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast