Lai Jai Loon dibawa ke mahkamah untuk didakwa atas dua pertuduhan menculik dan meminta wang tebusan serta membunuh mangsa culik tersebut yang merupakan teman wanita tertuduh di Kompleks Mahkamah Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 11 OKTOBER 2022.

KAJANG – Seorang penyelia tapak pembinaan bakal berdepan hukuman mati selepas didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini pagi ini atas dua pertuduhan menculik dan membunuh teman wanitanya di Bukit Tekali, Hulu Langat September lalu.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh, Lai Jai Loon, 27 dengan niat bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM40,000 telah menahan seorang perempuan tempatan bernama Ho Mei Ling, 27, dengan cara melarikan secara salah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 September 2022 jam lebih kurang 3.50 petang di hadapan rumah No, 34, Jalan Kenari 1, Taman Kenari, Lenggeng di Negeri Sembilan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati boleh juga dikenakan sebatan.

Tertuduh hanya mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas kertas kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli dan Majistret Syahrul Sazly Md. Sain.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md. Sain,  dengan niat membunuh hingga menyebabkan kematian kepada wanita yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 September lalu jam lebih kurang 3.50 petang hingga 27 September lalu jam lebih kurang 3 petang di tepi jalan Bukit Ketali di sini.

Pertuduhan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Prosiding untuk kedua-dua pertuduhan kes itu telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Afiqah Abdul Ghaffar dan Nurul Husna Amran manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.

Kedua-dua mahkamah kemudian telah menetapkan 17 November 2022 bagi tarikh sebutan semula bagi kes tersebut.

Polis telah menemui mayat seorang wanita dipercayai menjadi mangsa culik dalam gaung di Bukit Tekali Hulu Langat, Selangor pada 27 September lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff menerusi satu kenyataan berkata, mangsa disyaki dibunuh itu ditemui orang awam kira-kira jam 3.30 petang.

“Pemeriksaan lanjut ke atas mayat berkenaan mendapati dia merupakan kes culik yang disiasat berdasarkan kad pengenalan dan dokumen yang ditemukan bersamanya serta pengecaman ahli keluarga, katanya.

Polis menerima laporan daripada sepupu mangsa sehari selepas wanita itu dilarikan di kawasan rumahnya di Broga, Lenggeng di sini, turut mendakwa menerima mesej WhatsApp meminta sejumlah wang tebusan.

Susulan penemuan mayat itu, seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan di Taman Putra, Ampang pada Selasa lalu bagi membantu siasatan lanjut polis.

Siasatan awal mendedahkan suspek dan mangsa adalah pasangan kekasih yang berkenalan melalui media sosial sejak awal tahun ini dan motif pembunuhan disyaki berkaitan dengan hutang. – MalaysiaGazette