JASIN – Perikatan Nasional (PN) Melaka akan menggerakkan seluruh jenteranya untuk mengeluarkan seramai mungkin pengundi terutamanya di kawasan ‘putih’ atau kubu kuatnya bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.
Pengerusinya Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, ini kerana peratusan keluar mengundi yang rendah di bawah 75 peratus akan memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang sebagaimana berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November lalu.
Menurutnya, kelemahan mengatur strategi memastikan pengundi putih itu juga antara faktor mengapa PN hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada semua 28 kerusi yang ditandingi iaitu DUN Sungai Udang dan Bemban.
“Jadi untuk PRU-15, kita perlu kenal pasti dan mula rangka stragegi dari awal sebaik mungkin untuk pastikan pengundi keluar dan mencapai sasaran seperti PRU-14 yang mana peratusannya lebih 80 peratus.
“Kita kena fikir kaedah untuk bantu pengundi keluar terutamanya di kawasan-kawasan pengundi putih kita yang mungkin terpaksa mengharungi banjir pada hari mengundi nanti,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Yadzil yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka berkata, jentera parti akan mengenal pasti segala kemudahan yang diperlukan untuk membawa pengundi keluar pada musim tengkujuh bermula bulan depan.
“Di Jasin contohnya walaupun banjir mungkin tidak melibatkan pemindahan mangsa secara besar-besaran, kita masih perlukan kenderaan yang boleh mengharungi banjir seperti pacuan empat roda dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai calon yang akan diletakkan di enam kerusi Parlimen pada PRU-15 kelak, ADUN Bemban itu berkata, semua keputusan itu terserah kepada pucuk pimpinan pusat parti.
“Cuma di peringkat pusat kita dah tetapkan kerusi incumbent (penyandang) yang telah kita menang di Alor Gajah dan Masjid Tanah akan dikekalkan.
“Namun siapakan calonnya, termasuk rundingan jumlah kerusi yang diinginkan rakan parti dalam PN itu masih belum pasti kerana ditentukan peringkat pusat,” katanya – MalaysiaGazette.