KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) menafi dakwaan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) bahawa ia tidak pernah menerima atau berpeluang menggunakan peruntukan belanjawan secara khusus yang telah diumumkan dalam pembentangan bajet pada tahun-tahun sebelum ini.

MSN dalam satu kenyataan menjelaskan, dakwaan MESF juga dibuat tanpa memahami bahawa peruntukan bajet pembangunan sektor e-sukan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menyalurkannya tertakluk kepada kelulusan program yang ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, KBS menerusi agensi pelaksana seperti Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan Impact Intergrated yang bertanggungjawab terhadap peruntukan kerajaan dan tidak akan memberi keseluruhan peruntukan kepada mana-mana badan sukan tanpa penilaian dan justifikasi terhadap perancangan yang dikemukakan.

“Dalam erti kata mudah, peruntukan tidak akan disalurkan begitu sahaja tanpa memastikan bahawa program-program dan aktiviti yang dilaksanakan akan memberi impak kepada penggiat-penggiat sukan tersebut selari dengan strategi perancangan yang dipersetujui bersama,” kata MSN.

MSN berkata, pendekatan itu konsisten sejak sekian lama seperti peruntukan bajet tahunan kepada mana-mana badan sukan yang mendapat bantuan kerajaan.

Pada masa sama, MSN memaklumkan dakwaan MESF hanya menerima bantuan ke Sukan SEA 2019 di Filipina juga tidak berasas kerana badan induk itu telah menikmati keseluruhan peruntukan berjumlah kira-kira RM2.7 juta bagi program pasukan negara pada tahun 2019, 2020 dan 2022.

Dalam pada itu, MSN menjelaskan KBS telah melancarkan Pelan Strategik Pembangunan E-Sukan 2020-2025 pada 2019 dalam usaha menyelaras hala tuju dan pelaksanaan pembangunan e-sukan yang turut melibatkan MESF dan beberapa aktivis sukan berasaskan permainan video itu.

Sementara itu, MSN mendedahkan MESF telah dijemput bekerjasama dengan Esports Integrated (ESI) untuk penganjuran sukan selain usaha penggubalan undang-undang dan tadbir urus yang efisien, namun MESF tidak menunjukkan minat atau memberi maklum balas untuk menyertainya.

“MESF sebagai badan induk e-sukan di Malaysia seharusnya mengambil inisiatif membangunkan sukan itu dengan menjalin kerjasama bersama pihak berkepentingan sukan itu, iaitu penerbit e-sukan yang mempunyai hak kawalan mutlak terhadap sesuatu jenis permainan, seperti inisiatif dijalankan oleh MSN, JBSN dan Impact Integrated sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Presiden MESF, Datuk Ananth S Nathan seperti dilaporkan media sebelum ini menggesa semua pihak meneliti dan memperhalusi mengenai pengurusan peruntukan RM13 juta untuk e-sukan dalam Bajet 2023.

Beliau berkata, MESF tidak pernah menerima atau berpeluang menggunakan peruntukan belanjawan secara khusus yang telah diumumkan dalam pembentangan bajet sebelum ini. – MalaysiaGazette