Battersea Power Station. -Foto FB Battersea Power Station.

PROJEK Battersea Power Station di London yang pernah dilihat sebagai membazir ketika dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013 akhirnya menjadi mercu tanda ikonik bandar raya tersebut.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ketika ini berada di London dijadualkan merasmikan projek ‘milik’ Malaysia hari ini.

Battersea Power Station bernilai 9 bilion pound sterling akan dibuka kepada umum secara rasmi pada 14 Oktober.

Dari tahun 1930-an hingga 1980-an Battersea Power Station ialah stesen janakuasa elektrik.

Pada kemuncaknya, ia menghasilkan satu perlima daripada kuasa elektrik untuk kota London untuk membekalkannya ke beberapa mercu tanda yang paling dikenali seperti Dewan Parlimen dan Istana Buckingham sebelum fungsinya ditamatkan.

Bangunan ikonik itu terbiar selama enam dekat sebelum dibeli oleh syarikat pemaju hartanah, SP Setia pada 2012 pada harga £400 juta.

Syarikat itu kemudiannya berbincang mengenai jualan berpotensi dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk £1.6 bilion.

Bangunan bersejarah itu akhirnya dimiliki oleh konsortium Malaysia dengan Sime Darby Property memiliki 40 peratus, SP Setia (40 peratus), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (20 peratus) serta aset komersial dalam bangunan stesen janakuasa itu kini dimiliki secara langsung oleh Permodalan Nasional Bhd dan KWSP.

najib razak
Najib Razak

Najib  melakukan majlis pecah tanah projek tersebut pada 4 Julai 2013.

“Enam puluh tahun lepas, hanya segelintir pihak sahaja telah meramalkan yang wang Malaysia akan menghidupkan kembali Battersea,” kata beliau dalam ucapannya pada majlis pecah tanah yang dirasmikan bersama-sama Perdana Menteri Britain, David Cameron.

Sambil melahirkan ucap tahniah kepada konsortium Malaysia kerana usaha mereka  memulihkan semula Battersea, Najib berkata, contoh kejayaan syarikat terbabit akan diulangi, bukan sahaja di London, tetapi seluruh dunia.

Najib memberi jaminan kepada rakyat bahawa pelaburan di Battersea tidak wujudkan pengaliran keluar wang negara.

Beliau meminta rakyat melihat projek tersebut dari segi jangka panjang yang akan mendatangkan pulangan  tinggi, termasuk kepada pihak individu yang membeli aset di projek ini.

Menurutnya, penglibatan KWSP dalam projek berkenaan akan memberi pulangan lebih tinggi kepada badan kewangan itu, berbanding jika tumpuan pelaburan hanya diberi kepada pasaran domestik sahaja.

Ketika dua bulan selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) beberapa projek yang diusahakan  Najib dikaji semula.

Tidak terlepas daripada “mata” PH adalah projek Battersea Power Station.

Media pada 12 Jun 2018 melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada waktu itu Ketua Umum PH berkata, satu siri pelaburan hartanah di United Kingdom (UK) yang menggunakan dana kerajaan termasuk Battersea Power Station akan disiasat dan dirunding semula jika wujud sebarang salah laku.

Anwar Ibrahim.- Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 SEPTEMBER 2022.

Bercakap kepada The Guardian, Anwar yang dalam rangka lawatan empat hari ke London berkata, Battersea Power Station akan disiasat sebagai sebahagian pelaburan “diragui” yang dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Semua perjanjian ini yang dianggap mencurigakan, termasuk pelaburan dalam hartanah di London, perlu disiasat.

“Ya, itu termasuk Battersea kerana ia dibeli menggunakan dana negara. Kita perlu diyakinkan yang ini adalah keputusan pelaburan betul dan tiada pengaruh atau arahan politik (dalam Malaysia),” katanya kepada akhbar UK.

Bagaimanapun Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilantik menjadi Perdana Menteri kali kedua memuji pembangunan projek itu selepas melawat tapak ikonik yang menjadi pelaburan terbesar Malaysia di United Kingdom (UK) pada 30 September 2019.

“Saya tidak sangka ia sehebat ini. Saya rasa ia sesuatu yang boleh kita banggakan untuk Malaysia menghasilkan sesuatu yang seperti ini,” kata Mahathir.

Tun Dr. Mahathir Mohamad.- Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 OKTOBER 2022.

Projek itu menjadi tumpuan Kerajaan PH selepas beberapa pemimpinnya membangkitkan kebimbangan mengenai janji niaga dan pelaburan hartanah utama lain di UK, selain berhasrat mengkaji dan merundingkan semula janji niaga itu sekiranya terdapat sebarang salah laku.

Sime Darby Property Bhd (Sime Darby) dan SP Setia Bhd bagaimanapun menjelaskan pengambilalihan tapak serta kos seterusnya bagi pembangunan projek itu dibiayai sepenuhnya gabungan ekuiti daripada pemegang saham serta pinjaman pembangunan.

Hari ini projek hartanah tersebut menjadi lokasi paling ikonik dan berpotensi di Eropah serta mampu meraih pendapatan berpuluh bilion ringgit kepada Malaysia.

Malah Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook dalam ciapannya baru-baru ini berkata, syarikat itu akan membuka ibu pejabatnya di dalam bangunan tersebut awal tahun depan.

“Kami tidak sabar untuk membuka pejabat baharu kami di Battersea Power Station yang ikonik untuk menempatkan pasukan kami di London awal tahun depan.

“Ia merupakan penghargaan kepada bandar yang hebat ini serta menggambarkan komitmen kami terhadap masa depan Apple di UK,” katanya.

Battersea Power Station dibangunkan di kawasan berkeluasan 17 hektar merangkumi ruang komersial bercampur seluas 3.5 meter kaki persegi dan 4,239 perumahan baharu.

Kejayaan penjanaan semula Battersea Power Station mewujudkan 20,000 pekerjaan, menjana peluang kerjaya jangka panjang untuk penduduk tempatan.

Jika Najib dan syarikat Malaysia tidak berani memulihkan semula Battersea Power Station mungkin bangunan itu akan terus terbiar dan negara termasuk KWSP dan PNB terlepas peluang membuat keuntungan berbilion-bilion ringgit.

Projek itu juga sekali lagi membuka mata dunia mengenai keupayaan Malaysia dan biar pun terpenjara satu lagi visi jangka panjang Najib menjadi kenyataan. -MalaysiaGazette