Telur
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambung pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur, berkuatkuasa hari ini.

Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, kadar baru pemberian subsidi kepada telur ayam kini sebanyak RM0.08/sebiji kepada peladang.

Menurut beliau, ini bagi membolehkan harga runcit dikekalkan meskipun berlaku kenaikan kos pengeluaran.

“Ini berpunca daripada kenaikan kos pengeluaran dan menyebabkan keperluan penyelarasan semula harga telur ayam di peringkat ladang dan borong, untuk membolehkan harga runcit telur ayam dikekalkan tanpa sebarang kenaikan.

“Harga maksimum ayam pula adalah kekal bagi semua peringkat meliputi ladang, borong dan runcit,” katanya menerusi kenyataan.

Ekoran itu, telur Gred A kini dijual pada harga 0.39 sen sebiji (ladang); 0.42 sen sebiji (borong) dan 0.45 sen sebiji (runcit),

Manakala telur Gred B pula berharga 0.37 sen sebiji (ladang); 0.40 sen sebiji (borong) dan 0.43 sen sebiji (runcit).

Telur Gred C pula berharga 0.35 sen sebiji (ladang); 0.38 sen sebiji (borong) dan 0.41 sen sebiji (runcit).

Jelas beliau, KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa bekerjasama membuat pemantauan bagi memastikan bekalan barangan dalam negara sentiasa mencukupi dan harganya terus kekal stabil.

Untuk rekod, KPDNHEP telah melaksanakan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam bermula 5 Februari 2022 sebagai langkah untuk menstabilkan harga ayam dan telur ayam disamping memastikan keberadaan bekalan tersebut di pasaran dalam negara. – MalaysiaGazette