Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika bercakap pada sidang media mengenai taklimat Op Banjir di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengalami kekangan penugasan operasi bencana banjir sekiranya bencana itu berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau dimaklumkan perkara itu taklimat Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani mengenai persiapan pihak berkuasa itu bersedia  menghadapi musim musim.

“KDN juga dimaklumkan berkenaan kekangan yang bakal dihadapi oleh PDRM dalam menggerakkan operasi pengurusan banji sekiranya kekuatan anggota PDRM juga perlu diatur gerakkan bagi penugasan PRU ke-15 selaras dengan kehendak Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan rekod, hampir 75,000 anggota polis bertugas pada PRU14 dan PDRM menjangka bilangannya akan meningkat pada pilihan raya akan datang berikutan pertambahan pengundi dalam kalangan golongan muda yang berusia 18 tahun ke atas.

Berikutan itu, menurut Hamzah, PDRM menganggarkan lebih 94,000 daripada 120,000 anggota perlu ditugaskan pada PRU15.

Katanya, berdasarkan simulasi penugasan banjir yang dilaksanakan, anggota Jabatan Sukarelawan Rela (Rela) akan bertugas di luar kawasan saluran mengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) manakala sekurang-kurangnya seorang anggota polis akan bertugas di bilik mengundi.

Sementara itu, Hamzah berkata, polis akan dibantu oleh Rela, Agensi Penguatkuasaan dan Maritim Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada musim tengkujuh.

Katanya, seramai 21,018 pegawai dan anggota polis, 367 buah bot, 845 kereta pacuan empat roda, 454 buah lori dan 11 aset udara bersiap sedia untuk diatur gerakkan mengikut keperluan. -MalaysiaGazette