Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berucap pada Majlis Pelancaran Program Penyelia Penginapan dan Kemudahan Pekerja (PKPP) di Hotel Sofitel Kuala Lumpur, Damansara. Foto AFFAN FAUZI, 12 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) yakin penempatan pekerja asing di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) oleh majikan di negara ini memberi imej baharu di pentas antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ketika ini negara memerlukan sebanyak 20,000 CLQ kecil dan besar di seluruh negara bagi menempatkan pekerja asing dalam kemudahan penginapan yang lebih kondusif.

Katanya, negara sedang berdepan dua cabaran utama membabitkan pekerja asing yang mana mereka telah dikesan tinggal hampir 10 tahun di negara ini dan selepas itu enggan meninggalkan Malaysia.

“Inilah cabaran besar untuk kita yang mana seorang pekerja asing yang hanya boleh bekerja 10 tahun di negara ini, setelah tinggal lama dari tempoh itu di negara kita mereka mahu untuk meneruskan kehidupan dan terus kekal di sini serta enggan balik ke negara asal mereka.

“Ini memberi kekeliruan kepada mereka yang mana satu adalah pekerja asing yang berdokumen sah dan pendatang asing tanpa izin.

“Maka dengan adanya Akta 446 ini, kita dapat mengatasi dua masalah ini terutamanya imej yang tercalar di pentas antarabangsa boleh diperbaiki bersama pemantauan strategik oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menerusi program berterusan.

“Kedua, kita boleh menangani isu pekerja asing dengan penguatkuasaan yang tegas dan holistik jika pekerja asing yang datang bekerja di negara ini oleh majikan ditempatkan di penginapan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) dan sentiasa dipantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dan merasmikan Program Penyelia Penginapan dan Kemudahan Pekerja di Damansara hari ini.

Saravanan menggalakkan para majikan menggaji pekerja asing di negara ini untuk menyertai program itu memandangkan semasa pemantauan pihak berkuasa, pelbagai alasan diberi antaranya tidak berpengetahuan mengenai keperluan menyediakan penginapan kondusif dan sebagainya.

Tambah beliau, negara memerlukan sebanyak 22,000 CLQ di seluruh negara dengan dilengkapi kemudahan penginapan yang kondusif dan selamat.

Ujarnya, dengan adanya kemudahan CLQ teratur, mana-mana pekerj asing yang dibawa masuk oleh majikan untuk bekerja di sini dikehendaki ditempatkan di CIQ berpusat itu.

“Dengan kaedah ini mana-mana pekerja asing yang didapati berada di luar CLQ itu bermakna mereka adalah PATI dan juga tidak berdokumen.

“Selama ini, rakyat kita tidak dapat membezakan sama ada orang asing ini pekerja asing yang sah berdokumen atau PATI tetapi dengan adanya CLQ ini nanti mana-mana pekerja asing yang tidak tergolong dalam pekerja asing boleh dianggap sebagai PATI dan tidak sah.

“Ia akan memudahkan penguatkuasaan kerajaan dan memberi imej baharu di pentas antarabangsa dalam menguruskan pekerja asing di negara ini,” katanya.

Beliau mengakui hasil pemantauan JTK terhadap kemudahan penginapan yang disediakan oleh majikan mendapati seramai 300 orang pekerja asing ‘dicampak’ dalam ruang yang boleh memuatkan 150 orang dan 60 katil dan sesak sehingga 120 orang.

Menyedari hakikat ini, Saravanan berkata, menerusi Akta 446 telah mensyaratkan segala kelulusan pengambilan pekerja asing bersyarat terlebih dahulu disediakan kelengkapan kemudahan penginapan yang kondusif dan selamat.

“Memandangkan ia memakan masa lama untuk memantau sebelum memberikan kelulusan kepada majikan, atas desakan majikan baru-baru ini, kita memberi sedikit kelonggaran yang mana majikan perlu memberi aku janji akan menyediakan penempatan kondusif.

“Ini bermakna kita takkan buat lawatan dulu untuk memeriksa penyediaan penginapan pekerja asing, kita sebaliknya luluskan dulu selepas itu baru akan melawat dan memantau tahap kemudahan yang mana sepanjang proses kelulusan berjalan majikan itu perlu uruskan dan selesaikan kemudahan yang disyaratkan akta 446 kepada pekerja asing.

“Kalau pemeriksaan dilakukan mendapati mereka tidak mematuhi apa yang dipersetujui dalam aku janji sebelum ini kepada KSM tindakan berat akan dikenakan iaitu denda RM50,000 kepada majikan itu untuk setiap pekerja yang digajinya,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast