PEKAN – Meskipun spekulasi cukup kuat menyatakan anak Datuk Seri Najib Razak bakal menggantikan tempat ayahnya sebagai calon Parlimen di Pekan, namun bagi Datuk Mohd Nizar Mohd Najib, 44, semua terpulang kepada pucuk pimpinan UMNO.
Bagi Nizar, 44, fokusnya kini masih meneruskan tanggungjawab dan amanah yang digalas sebagai Ketua Pemuda UMNO Pekan.
”Tidak tahu lagi bagaimana, biar kepimpinan yang putuskan siapa yang selayaknya. Saya masih ada tugas untuk diteruskan kerana tanggungjawab sebagai ketua pemuda.
”Ikut mana pun, saya akan terus bekerja keras atas tiket parti,” kata Nizar kepada MalaysiaGazette.
Tambah Nizar, sebagai ahli UMNO yang setia, beliau akur dan menghormati segala keputusan yang dibuat oleh parti.
Najib yang sedang menjalani hukuman penjara merupakan Ahli Parlimen Pekan sejak lima penggal bermula pada tahun 1976.
Parlimen Pekan adalah menjadi legasi keluar Nizar sejak tahun 1959 melalui datuknya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, juga Perdana Menteri kedua.
Selepas kematian Abdul Razak, Najib memegang kerusi itu sejak tahun 1976, kecuali untuk satu penggal pada 1982-1986 ketika beliau menjadi Menteri Besar Pahang. – MalaysiaGazette