PUTRAJAYA – Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap Menteri Kesihatan baharu yang dilantik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak tunduk kepada syarikat-syarikat tembakau yang boleh menggagalkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau.
Kata Menteri Kesihatan itu, RUU itu akan menyediakan masa depan yang baik kepada negara.
“Sebab saya rasa RUU ini sudah baik, mungkin pada awalnya ada sikit pindaan dan kita sudah melalui proses dan RUU ini sangat penting untuk masa depan Malaysia.
“Saya harap kerajaan baharu yang akan dibentuk dan Menteri Kesihatan yang baharu selepas pilihan raya tidak akan tunduk kepada syarikat-syarikat tembakau dan syarikat-syarikat yang terlibat dengan penjualan rokok.
“Sebab mereka banyak telah mempengaruhi Ahli Parlimen sedia ada dan menakutkan rakyat tentang RUU ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Modul Program Pengurusan Berat Badan Trim & Fit dan Pelaksanaan di Semua Kementerian dan Jabatan, hari ini.
Khairy turut memberi jaminan akan terus menyokong RUU Kawalan Produk Tembakau sekiranya tidak lagi menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menjadi Ahli Parlimen selepas ini.
Beliau berharap kerajaan baharu akan terus memperjuangkan RUU sehingga diluluskan Dewan Rakyat.
“Terpulang kepada kerajaan yang akan dibentuk selepas pilihan raya saya sudah buat yang terbaik bawa sehingga Jawatankuasa Pilihan Khas, mendapat persetujuan daripada semua ahli-ahli politik tapi kita kena terima hakikat bahawa Parlimen yang baharu kelak adalah yang terbentuk dengan ahli-ahli baharu
“Jadi kita tidak boleh ambil pendirian Parlimen baharu secara automatik setuju dengan apa yang Parlimen lama persetujui.
“Saya akan terus menyokong supaya RUU ini dibawa ke Parlimen dalam apa jua kedudukan saya selepas ini sama ada sebagai Ahli Parlimen atau rakyat biasa saya akan terus desak supaya kerajaan baharu nanti bawa RUU ini ke Dewan Rakyat,” tambah beliau.
Bacaan pertama dan kedua rang undang-undang tersebut dilakukan pada 27 Julai dan 1 Ogos lepas.
Sebanyak 23 pindaan yang sepatutnya di kemukakan di Dewan Rakyat.
RUU berkenaan antara lain mengetengahkan larangan menghisap apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya serta bagi perkara berkaitan.
Ia bertujuan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, selain mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok. – MalaysiaGazette