Nik Saiful Adli (dua dari kiri), Dr. Nurul Ain (kiri) dan pegawai serta anggota CDERT Ketereh bersama sijil Anugerah Pasukan Komuniti Terbaik.

BANGI – Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Ketereh, Kelantan, mendahului senarai penerima anugerah dalam majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat Pertahanan Awam di sini, semalam.

CDERT itu menerima Anugerah Bintang Perak dan Anugerah Pasukan Terbaik Kategori Komuniti yang disampaikan Ketua Pesuruhjaya APM, KPj (PA), Aminurrahim Mohamed.

Majlis yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Center itu melibatkan penganugerahan pingat dan penghargaan kepada individu serta pasukan yang banyak memberi sumbangan kepada masyarakat dan perkhidmatan APM serta menaikkan nama angkatan itu dalam pelbagai aspek.

CDERT Ketereh yang ditubuhkan tahun 2015 merupakan pasukan sukarelawan APM pertama di Kelantan dan mula aktif sekitar 2018.

“Pasukan ini menaungi tiga kompeni iaitu Kompeni APM Melor, Kadok dan Kok Lanas meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta satu Kompeni Perubatan.

“Pasukan dengan 70 anggota dan lapan pegawai ini menjalankan tugas bencana terutama banjir yang melibatkan pemindahan mangsa dan pengurusan pusat pemindahan banjir dalam kawasan Parlimen Ketereh sejak 2018,” kata Komander CDERT Ketereh, Lt. Kol. Bersekutu (PA), Nik Saiful Adli Burhan.

Kata beliau, pasukan itu dinaungi Ahli Parlimen Ketereh, Pesuruhjaya Kehormat (PA), Tan Sri Annuar Musa dan ADUN Kok Lanas, Kol. Bersekutu (PA) Datuk Seri Md. Alwi Che Ahmad.

Nik Saiful Adli berkata, anugerah ini adalah untuk semua pegawai dan anggota pasukan yang banyak bekerja keras terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak Covid-19 sepanjang 2020 hingga 2022.

“Tugasan pasukan ini termasuk Rondaan Cegah Covid, program pendidikan kepada masyarakat, pendaftaran MySejahtera serta pengurusan Pusat Pemberian Vaksin dalam Parlimen Ketereh,” katanya.

Turut hadir mewakili pasukan menerima anugerah itu ialah Ketua Kompeni Perubatan, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Dr. Nurul Ain Razali; Ketua Kompeni CDERT Melor, Mejar Bersekutu (PA) Wan Muhammad Faisal Wan Zin; Ketua Staf CDERT Pbt. (PA) Ahmad Akhram Naim dan Penolong Ketua Kompeni Perubatan, MA Mohd Khairul Nizam Rosli. – MalaysiaGazette