KUALA LUMPUR – Perbicaraan penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dana RM2.3 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersambung hari ini dengan saksi ke-41, bekas Pengurus Perhubungan Ambank cawangan Raja Chulan, Joanna Yu.
Hari ini Joanna mendedahkan dalam mahkamah akaun peribadi yang dikenali dengan kod nama khas iaitu, AmPrivate Banking-MR memiliki tahap kerahsiaan tinggi serta turut diklasifikasikan sebagai sulit.
Katanya, perkara itu juga sebenarnya telah dicadangkan oleh ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sendiri ketika itu.
Kata Joanna, Jho Low juga meminta akaun itu diklasifikasikan sebagai terlalu sulit.
“Saya tidak berapa ingat siapa yang beri kod AmPrivate Banking-MR tetapi hanya tahu bahawa ada perbincangan untuk menggunakan kod nama.
“Ini juga pada hemat saya untuk melindungi maklumat dan memelihara sensitiviti akaun, perkata itu juga telah dimaklumkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) oleh bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ambank, Cheah Tek Kuang,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Dalam pada itu, ketika pemeriksaan utama, Joanna turut mendakwa dirinya tidak pernah berjumpa secara peribadi dengan Najib untuk apa-apa urusan sebaliknya ianya akan melalui Jho Low atau Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) 1MDB ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil.
Prosiding bersambung pada 7 November ini.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Ketika ini Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah menyeweleng dana SRC International berjumlah RM42 juta dan hadir prosiding dari Penjara Kajang. -MalaysiaGazette