Teater Nyonya akan dipentaskan kembali buat kali kelapan pada 15 dan 16 Oktober ini di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Pementasan teater secara konsisten terutamanya di luar Kuala Lumpur akan mampu memberi impak positif kepada pemuliharaan warisan bangsa secara global.

Menurut Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai sejarah, budaya dan warisan yang boleh menggambarkan pola kehidupan masyarakat.

“Oleh itu, pementasan teater Nyonya ini adalah salah satu inisiatif untuk melindungi warisan budaya dengan menggunakan kaedah pemuliharaan yang betul dan menjamin kualiti warisan terpelihara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, pemuliharaan warisan adalah penting agar generasi akan datang dapat mempelajari dan melihat warisan seni teater yang wujud di Malaysia.

Shahaniza Shamsudin

“Pengekalan dan pemuliharaan warisan seni dan budaya sesebuah masyarakat di Malaysia merupakan bahagian penting dalam memperkasakan jati diri dan menyemai semangat patriotisme kepada bangsa Malaysia.

“Seni teater dapat berperanan dalam menjadikan pembentukan peribadi yang seimbang dan harmonis dari segi akal, jiwa, emosi dan raga. Sejak dahulu lagi seni teater menjadi wadah pembangunan sosial malah ia telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai medium perubahan sosial masyarakat dan manusia amnya.

“Di Barat, pendidikan seni teater bukanlah sesuatu yang eksklusif untuk seni kerana ia telah dijadikan sebagai salah satu bentuk pendidikan yang terkenal dan dinikmati oleh masyarakat,” tambah Shahaniza yang bertindak sebagai Penaung teater tersebut.

3. ANTARA babak menarik dalam teater Nyonya yang akan dipentaskan pada 15-16 Oktober ini di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Beliau berharap usaha yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan membantu dari segi kewangandapat dicontohi oleh negeri-negeri lain bagi menyemarakkan lagi seni budaya bangsa.

Teater Nyonya terbitan CTRA Production dan A4Communication dengan kerjasama Kerjaaan Negeri Pahang dan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) akan dipentaskan dari 15-16 Oktober ini di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan Pahang.

Pementasan yang diterbitkan oleh Siti Rohayah Atan, diarahkan oleh Dr Rosminah Tahir ini dilakonkan oleh Zera Hariz, Liza Abdullah, Eyzendy Aziz, Vanidah Imran dan Deera Amin.

Teater Nyonya ini berkisarkan seorang wanita kaya yang digelar Nyonya dimana ianya harus berperang dengan Tuan iaitu seorang pedagang barang antik yang mempunyai pelbagai muslihat.

Pelbagai cara dan muslihat digunakan oleh Tuan untuk mendekati Nyonya lebih-lebih lagi selepas mendapat tahu suami Nyonya yang sudah tua terlantar di rumah sakit akibat kanser lidah.

Dalam masa yang sama perangai Tuan yang banyak muslihat itu mula dikesan oleh isterinya, Comel.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast