PETALING JAYA – Kegiatan jenayah sindiket mencuri pakaian berjenama didalangi warga asing terbongkar.
Sindiket yang dianggotai oleh 11 warga asing termasuk lapan wanita berusia 26 hingga 47 tahun yang memasuki negara ini sebagai pelancong sebelum terlibat dalam kegiatan jenayah itu akhirnya tersungkur di tangan polis menerusi serbuan pada 3 dan 4 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan sebuah beg khas bagi menghalang bunyi penggera sebelum mencuri pakaian di kedai atau butik pakaian berjenama di negara ini.
Beg khas yang direka khas itu dibawa masuk oleh suspek dari negara asal mereka untuk menghalang bunyi penggera di kedai pakaian daripada berbunyi.
“Suspek yang berjaya mencuri pakaian berjenama akan menghantar pakaian itu ke negara asal dengan menggunakan kurier sebelum dijual di sana.
“Siasatan lanjut polis mendapati sindiket ini bergerak secara berkumpulan untuk mencuri pada waktu kedai beroperasi dan sentiasa berpindah secara nomad ke setiap hotel untuk menutup kegiatan mereka daripada dihidu pihak berkuasa,” katanya pada sidang media hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, siasatan juga mendapati setakat ini sindiket berkenaan berjaya menghantar sebanyak 210 kilogram bungkusan yang mengandungi baju berjenama yang dicuri di sini ke negara asal mereka tahun ini menggunakan perkhidmatan kurier.
“Kesemua suspek sebenarnya sebanyak tiga kali masuk ke dalam negara ini sebagai pelancong. Selain 11 suspek warga asing itu, seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 51 tahun yang disyaki telah berperanan sebagai pemandu membawa ahli sindiket ini ke lokasi jenayah juga diberkas.
“Siasatan turut mendedahkan sindiket berkenaan ini aktif mencuri pakaian berjenama di 17 pasar raya yang terletak di sekitar Lembah Klang sejak Mac lalu sekaligus tangkapan kesemua suspek membantu polis menyelesaikan sebanyak tujuh kes curi di daerah tersebut.
“Kesemua suspek berjaya ditahan reman sehingga 22 Oktober ini bagi membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dalam bangunan,” tegas Mohamad Fakhrudin. – MalaysiaGazette