Tertuduh, Khaw Hock Seang 59, dibawa di Mahkamah Majistret Klang untuk didakwa atas pertuduhan menyeleweng wang pelanggannya. Foto MOHD ADZLAN, 14 OKTOBER 2022.

KLANG – Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan seorang bekas pengurus bank menjalani pemeriksaan psikiatri sebelum didakwa atas pertuduhan menyeleweng wang pelanggannya.

Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan yang dibuat oleh peguam tertuduh, Dennis Micheal Pereira.

Ini kerana, menurut Dennis, tertuduh  Khaw Hock Seang yang berusia 59 tahun itu. memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental.

“Berikutan itu, tertuduh tidak boleh membuat sebarang pengakuan dan dia perlu mendapat pengesahan daripada hospital psikiatri terlebih dahulu,” katanya

Amirul Asyraf kemudian menetapkan 6 Disember depan bagi sebutan pendakwaan ke atas tertuduh.

Tertuduh bakal menjalani ujian sakit mental di Hospital Tanjung Rambutan.

Tertuduh, Khaw Hock Seang dikawal ketat ketika memasuki perkarangan  Mahkamah Majistret Klang. Foto MOHD ADZLAN, 14 OKTOBER 2022.

Turut hadir di Mahkamah Majistret hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ain Madihah Zulkilfi

Perbuatan bekas pengurus bank yang memperdaya pelanggannya untuk menyertai satu skim pelaburan terbongkar apabila dia dicekup polis.

Lelaki tersebut dipercayai menawarkan skim berkenaan sebelum bertindak mengeluarkan wang daripada akaun bank mangsa tanpa pengetahuan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek akan didakwa dengan empat pertuduhan yang membabitkan kerugian berjumlah RM164,000.

Empat pertuduhan akan dikenakan ke atas suspek berkaitan kes ini yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

“Setakat ini, IPD Klang Selatan sudah menerima sejumlah 47 laporan polis membabitkan kerugian melebihi RM14 juta dan kesemua laporan membabitkan suspek kes sama yang mana mangsa adalah pelanggan bank berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast