Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dikatakan masih menjadi teka-teki meskipun sudah masuk hari keempat Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).- Gambar hiasan.

GEORGE TOWN –  Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dikatakan masih menjadi teka-teki meskipun sudah masuk hari keempat Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

MalaysiaGazette difahamkan, pemimpin DAP Pulau Pinang masih menaruh harapan agar Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menerima cadangan mereka untuk membubarkan DUN.

Namun sehingga kini tiada sebarang keputusan dibuat Majlis Presiden PH meskipun pembincangan mengenai dibuat sejak Isnin lalu membabitkan negeri serta pimpinan peringkat pusat parti masing-masing.

Malah ada pemimpin DAP mengutarakan pendapat agar Presiden PH memberikan pengecualian kepada Pulau Pinang untuk tidak mengikuti ketetapan sebelum ini mengenai membubarkan DUN demi memastikan kemenangan peringkat negeri.

Selain itu, MalaysiaGazette difahamkan, pemimpin DAP juga memberi gambaran kepada rakan sekutu mereka iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Amanah bahawa pemilihan negeri diadakan serentak dengan PRU-15 adalah pilihan terbaik.

Bagaimanapun, pimpinan negeri itu mengakui mereka akan akur dengan sebarang keputusan daripada Majlis Presiden PH demi keutuhan gabungan parti politik terbabit.

MalaysiaGazette semalam melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memberitahu, seruan daripada rakyat, logistik lebih memudahkan sekiranya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) antara faktor DAP Pulau Pinang bercadang untuk membubarkan DUN.

Beliau yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, pihaknya telah membawa hujahan terbaik kepada DAP Pusat untuk mengkaji semula ketetapan mengenai pembubaran DUN sebelum ia dibawa ke mesyuarat PH Pusat. – MalaysiaGazette