KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepatutnya menyokong Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) diadakan segera.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO telah membuktikan parti itu mempunyai hala tuju seperti yang ditunjukkan dalam pilihan raya negeri di Melaka dan Johor.
Hala tuju UMNO juga semakin jelas menjelang PRU15 ini.
“Ironinya beberapa tahun kemudian mereka antara yang terlihat amat susah hati apabila UMNO minta PRU15 diadakan selepas proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos 2021.
“Sepatutnya mereka menyokong kerana UMNO telah pun membuktikan hala tujunya pada PRN Melaka, Johor dan juga hala tuju yang jelas untuk PRU15 iaitu untuk kembali membentuk sebuah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dominan demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya.
Ahmad Zahid mengimbas kembali tindakan berbelas-belas Ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Datuk Seri Hamzah Zainudin, katanya, antara Ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu.
Dalam kenyataan pada 14 Disember 2018, Hamzah yang kini Setiausaha Agung Bersatu membuat kenyataan bahawa 10 lagi Ahli Parlimen UMNO akan keluar parti jika Ahmad Zahid tidak meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.
Gesaan itu dibuat kerana Hamzah menyifatkan Ahmad Zahid gagal memikul tanggungjawab sebagai presiden parti.
“Kisah pada Disember 2018 ini antara peristiwa yang masih dingati semua. Beberapa pemimpin UMNO keluar parti atas sebab yang semua sedia maklum.
“Dalam masa sama mereka mengugut Presiden UMNO supaya meletak jawatan atau seramai 10 lagi pemimpin UMNO akan menyertai mereka keluar parti.
“Mereka ketika itu memberi alasan kononnya Presiden UMNO tiada hala tuju dalam membawa UMNO mengadapi PRU15,” kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata, desakan itu dibuat sebelum pemimpin berkenaan menyertai Bersatu tetapi telah mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahmad Zahid mendakwa, selepas desakan yang bersifat muslihat itu gagal dua bulan kemudian pemimpin terbabit secara rasmi menyertai Bersatu dan Pakatan Harapan (PH).-MalaysiaGazette