Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohsin menunjukkan antara barang rampasan pada sidang media mengenai kejaan tangkapan dalam Operasi Penguatkuasaan (Ops Dandan) di Kompleks KDN, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Malang bagi isteri kepada seorang ahli perniagaan apabila mengidamkan kecantikan pada dirinya namun, bertukar menjadi padah yang berpanjangan.

Dia terpaksa menderita selepas mengambil suntikan pada bahagian payudaranya di sebuah pusat rawatan kecantikan tidak bertauliah di ibu negara.

Akibat suntikan itu, payudara wanita tersebut menjadi bengkak dan lebam teruk.

Semua itu berlaku gara-gara wanita terbabit cuba mendapatkan khidmat rawatan kecantikan dengan bayaran murah.

Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan, Syamsul Badrin Mohsin berkata, mangsa telah membuat aduan kepada Jabatan Imigresen dengan memberitahu operasi pusat rawatan berkenaan dijalankan oleh warga asing.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat risikan yang lama sejak laporan diterima pada Februari lalu tetapi, setiap kali serbuan hendak dilakukan, premis terbabit tidak beroperasi.

Bagaimanapun, pihaknya telahpun berjaya membuat satu temujanji dengan seorang pekerja di premis terbabit untuk melakukan rawatan kecantikan menerusi kaedah penyamaran.

Katanya, pekerja terbabit telah pun bersetuju untuk membuat rawatan yang dijanjikan dan satu pasukan dari Bahagian Penguatkuasa Risikan Operasi dan ATIPSOM Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan diatur untuk melakukan serbuan.

Hasil daripada serbuan itu, pihaknya berjaya menahan lima individu iaitu dua lelaki dan tiga wanita warga Indonesia berusia 24 hingga 41 tahun merupakan pekerja di premis terbabit.

“Dalam serbuan semalam kami telah menemui beberapa peralatan dan rawatan kecantikan yang mana suntikan menggunakan cecair dan juga kelengkapan membuat gigi yang dibuat tanpa kelulusn dan kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kes ini kami akan semak semula dengan KKM, apa tindakan yang kami boleh buat. Bagaimanapun bagi imigresen, tahanan itu kami akan hantar ke depoh Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Syamsul Badrin, pusat rawatan itu menggunakan modus operandi iaitu menawarkan khidmat rawatan kepada wanita-wanita kurang berkemampuan namun, menginginkan kecantikan.

Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah peraturan 39 (b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 19/63.

Beliau turut menasihatkan orang ramai, agar berhati-hati untuk mendapatkan khidmat rawatan kecantikan bagi mengelak menjadi mangsa sindiket seperti itu. – MalaysiaGazette