Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menunjukkan kertas laporan selepas selesai membuat laporan polis mengenai berita yang mendakwa Jho Low menjalankan syarikat pelaburan yang berada di Shanghai China di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 15 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – DAP mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar melakukan siasatan segera sama ada perniagaan milik  Jho Low di Pusat Kewangan Dunia Shang Hai, China dengan menggunakan hasil dana yang dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad.

“Dalam laporan polis saya hari ini, meminta semua agensi penguatkuasaan di Malaysia termasuk PDRM supaya menyiasat dua perkara membabitkan Jho Low, sama ada dana AS$333 juta yang digunakanadalah hasil dana 1MDB yang dicuri.

“Keduanya saya mahu kerajaan Malaysia siasat betul ke Jho Low mempunyai pejabat di Pusat Kewangan Dunia (WFC) di Shanghai seperti didakwa bekas wartawan berpengaruh dari AS itu,” kata bekas Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

 

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng bercakap pada sidang media selepas selesai membuat laporan polis mengenai berita yang mendakwa Jho Low menjalankan syarikat pelaburan yang berada di Shanghai China di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 15 OKTOBER 2022.

Lip Eng membuat laporan polis selepas dua bekas wartawan Wall Street melaporkan Jho Low membuka pejabat bernilai AS$333 juta itu di Pusat Kewangan Dunia yang terletak di  menara ikonik di Shanghai.

Lip Eng mendakwa,  beliau pernah membangkitkan soalan di Dewan Rakyat sebelum Parlimen dibubarkan 10 Oktober yang lalu agar kerajaan menjejaki lokasi sebenar Jho Low yang dikatakan sedang bersembunyi di China.

Bagaimanapun, katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tanpa mengulas lanjut pertanyaan itu menjelaskan, PDRM sudah bertindak menerusi Interpol  bagi mengeluarkan notis merah untuk menangkap Jho Low.

Kata Hamzah, ujarnya, ia adalah kaedah terbaik dan bukannya dengan cara pergi mencari Kerajaan China dan sebagainya.

Pun begitu, semalam katanya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata, bukan senang untuk menjejaki dan membawa pulang Jho Low dari China.

Beliau tidak setuju dengan jawapan Wan Junaidi yang berkata, Malaysia dan China tiada triti untuk membawa pulang Jho Low.

Ini kerana, pada 27 pada November 2016, Kerajaan Taiwan membantah apabila Malaysia  membenarkan anggota polis China di Malaysia mengiring dan menghantar balik 21 suspek penjenayah Taiwan di Malaysia ke China untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah.

‘Jika itu boleh dibuat dengan mudah, kenapa tidak Jho Low? Lagi pun Wan Junaidi juga pada masa itu telah menganggotai Kabinet dan dia sememangnya sedia maklum mengenai perkara ini.

“Kenapa tidak menggunakan kaedah sama pergi ke China dan membawa balik Jho Low berdepan muka pengadilan di sini. Kita bukan meminta polis China untuk mencekup Jho Low dan membawa balik ke Malaysia,” katanya sambil mendakwa kerajaan melindungi Jho Low.

Namun, Lip Eng enggan mengulas ketika ditanya kemungkinan China enggan bekerjasama dengan PDRM.

“Bukan peranan saya dengan Embassy China kerana ia membabitkan soal diplomatik dan ini peranan Wisma Putra, KDN dan PDRM menyiasat dan membuat susulan mengenai perkara itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast