GEORGE TOWN – Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menyifatkan hubungan Muafakat Nasional (MN) di negeri itu sangat baik.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan untuk bekerjasama dengan Pas negeri itu terhenti selepas pucuk pimpinan menetapkan UMNO akan bergerak secara bersendirian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kata Musa, pihaknya masih berharap pucuk pimpinan parti masing-masing pertimbangkan semula keputusan untuk menyelesai masalah tersebut.
“Ya kita mempunyai hubungan yang baik dengan Pas Pulau Pinang tapi keputusan kita tak boleh kerjasama dengan Bersatu. Jadi kalau dia masih sokong parti itu di negeri ini macam mana kita nak kerjasama dengan dia (Pas).
“Situasi di Pulau Pinang ini lain, kita memang very close (sangat akrab) dengan Pas jadi bila macam ini kita terpaksa bertembung dengan Pas meskipun harapan UMNO mengelak pertembungan tiga penjuru membabitkan dengan Pas,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Tambah Musa, beliau telah membawa isu ini kepada pucuk pimpinan Top 5 UMNO namun apabila keputusan telah dibuat BN negeri terpaksa akur dengan dasar parti.
“Usul akar umbi menolak kerjasama dengan Bersatu membabitkan parti. Mana boleh kerjasama depa (Bersatu) tikam kita, ambil orang kita jadi akar umbi tak boleh terima.
“Kalau dengar nama Pas mereka (akar umbi) tak merungut sangat dan ia berbeza dengan Bersatu mereka merunggut.
“Bagaimanapun, kita masih berharap pucuk pimpinan Pas dan UMNO dapat selesaikan perkara ini, kalau tak boleh kita terpaksa akur kawan secara friendly,” kata Musa. – MalaysiaGazette