Equanimity
Kapal persiaran mewah Equanimity

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas perlu disiasat berhubung penjualan kapal persiaran Equanimity kepada Pengerusi Genting Berhad, Tan Sri Lim Kok Thay pada 2019.

Syor itu dinyatakan oleh Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice In The Wilderness dalam laporan yang telah dinyah sulit kelmarin.

Menurut pasukan berkenaan, siasatan hendaklah menjurus kepada sama ada Tommy mempunyai kuasa untuk menerima tawaran daripada Genting untuk menjual Equanimity pada harga yang lebih rendah daripada yang ditetapkan oleh mahkamah.

Harga rizab yang ditetapkan oleh Mahkamah Admiralti adalah AS$130 juta manakala harga yang dibayar oleh Genting dan dipersetujui oleh Tommy adalah AS$126 juta.

Pasukan Petugas Khas turut membangkitkan persoalan tentang tindakan Tommy menjual Equanimity tanpa merujuk kepada pemilik-pemiliknya iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak-anak syarikatnya.

Tommy juga dikatakan tidak merujuk kepada Pusat Antijenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) yang ditubuhkan untuk mengendalikan pengambilan aset-aset milik 1MDB.

Selain itu, Pasukan Petugas Khas mengesyorkan agar siasatan dijalankan bagi memastikan sama ada terdapat kaitan antara penjualan kapal persiaran tersebut dengan tindakan Genting menarik balik kes mahkamah terhadap Menteri Kewangan.

Siasatan juga perlu mengesan sama ada tindakan tersebut ada kaitan dengan keputusan Menteri Kewangan mengembalikan semula insentif cukai kepada Genting di mana ia menyebabkan pendapatan kerajaan berkurangan manakala Genting mendapat kelebihan dari segi kewangan.

Genting memfailkan semakan kehakiman pada 2018 bagi mencabar keputusan Menteri Kewangan membatalkan insentif cukai yang diluluskan sebelumnya pada 17 Disember 2014.

Syarikat tersebut menuntut agar insentif cukai yang membolehkan pendapatan daripada pelbagai aktiviti perniagaannya disatukan dikembalikan semula.

Walau bagaimanapun, selepas penjualan Equanimity kepada Genting diluluskan oleh mahkamah, syarikat itu menarik balik permohonan semakan kehakiman.

Menteri Kewangan melalui surat bertarikh 4 Julai 2019 menyatakan, beliau bersetuju untuk mengembalikan keputusan asal bagi membolehkan Genting memfailkan pendapatan daripada pelbagai aktiviti perniagaannya sebagai daripada satu sumber sahaja. – MalaysiaGazette