PONTIAN – UMNO Pontian mengusulkan supaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinamakan sebagai Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, usul itu termasukalh tiga usul yang diputuskan UMNO Pontian, selain mengenai calon dan solidariti ahli parti.
“Kita sebulat suara mengusulkan supaya Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dinobatkan sebagai Perdana Menteri jika BN menang PRU-15 nanti.
“Secara peribadi saya merasakan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah lebih tepat dan sesuai berbanding hanya sebagai ‘poster boy’ BN,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian, di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausa Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian.
Pada 18 September lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN mengesahkan Ismail Sabri kekal sebagai ‘poster boy’ BN pada PRU-15 dan akan dipilih sebagai Perdana Menteri jika parti itu memenangi PRU-15.
Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor merangkap Pengerusi BN Johor juga memberitahu, UMNO Pontian turut mengusulkan ahli parti harus menyokong siapa sahaja calon yang diputuskan pucuk pimpinan.- Malaysiagazette